Abdul Rahim Sabri
Pemuda Umno mencadangkan agar dikenakan had umur bagi calon-calon yang mahu bertanding jawatan ketua pergerakan tersebut.
Pada masa ini, tiada had umur dikenakan bagi mereka yang berhasrat untuk merebut jawatan tersebut.
Perkara itu diputuskan mesyuarat khas exco Pemuda Umno yang dipengerusikan oleh ketuanya, Khairy Jamaluddin di ibunegara petang ini.
Bercakap dalam sidang media, Khairy berkata, pergerakan mencadangkan had umur 45 tahun bagi calon jawatan tersebut.
Cadangan itu, tegasnya, dibuat bagi memenuhi aspirasi dan perjuangan anak muda di Malaysia.
Di samping itu, katanya, calon-calon bagi jawatan ketua, naib dan exco Pemuda juga mesti memegang jawatan tertentu dalam pergerakan itu di peringkat bahagian atau pusat bagi tempoh masa tertentu.
"Bagi ketua Pemuda dan naib ketua Umno pusat, calon mesti pernah menjadi exco Pemuda selama satu penggal atau ketua pemuda Umno bahagian selama satu penggal, (baru) dia boleh bertanding.
Syarat layak bertanding
"Cadangan asal yang kita terima, adalah dua penggal. Kalau dua penggal untuk jadi ketua Pemuda, maka tidak ada siapa yang dapat melawan saya selepas ini.
"Bagi jawatan exco Pemuda, calon mestilah menjadi ahli Umno selama tiga tahun dan ahli jawatankuasa Pemuda bahagian, (baru) dia boleh bertanding. Ada cadangan kena mesti jadi ketua Pemuda bahagian, saya kata tidak," katanya.
Selaras dengan itu juga, katanya, Pemuda Umno mencadangkan beberapa syarat-syarat kelayakan minimum untuk bertanding merebut jawatan dalam Pemuda di peringkat bahagian
"Pemuda menyokong sistem kuota dimansuhkan, tidak ada lagi kuota dan ia memudahkan ahli Umno dan pemuda Umno untuk bertanding.
"Sebagai contoh, (untuk bertanding) ahli jawatankuasa Pemuda bahagian, ia perlu menjadi ahli selama setahun dan lepas itu boleh bertanding. Tidak perlu bertanding jawatan ketua Umno cawangan atau AJK cawangan.
"Bagi jawatan ketua pemuda Umno bahagian, Pemuda mencadangkan agar calon yang bertanding mesti menjadi ahli selama tiga tahun dan menjadi ketua Pemuda cawangan atau AJK pemuda bahagian.
"Tidak ada pencalonan di peringkat cawangan. Kita nak tengok komitmen calon sebagai seorang ahli dan sedikit trek rekod," katanya.
Pindaan perlembagaan
Khairy berkata Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat untuk membincangkan cadangan pindaan perlembagaan Umno yang akan dimajukan di dalam perhimpunan agung parti itu 13 hingga 16 Oktober ini.
Dalam sidang media yang sama, Khairy berkata, Pemuda menyokong cadangan pemilihan pucuk pimpinan Umno di peringkat perwakilan bahagian dan bukan lagi semasa perhimpunan agung.
Pemuda juga, katanya, mencadangkan agar perwakilan bahagian ditambah - daripada sedia ada kepada sekurang-kurang 30 peratus yang merangkumi ketua Pemuda, ketua Wanita dan ketua Puteri cawangan - ke perwakilan bahagian untuk memilih jawatan Majlis Tertinggi dan jawatan tertinggi parti.
"Ini akan melibatkan lebih daripada 100,000 ahli Umno yang akan jadi pemilih bagi jawatan tertinggi parti. Kalau dahulu dipilih oleh lebih 2,000 ahli, kali ini, lebih 100,000 akan ambil bahagian untuk memilih jawatan Majlis Tertinggi parti.
"Ia adalah selari dan selaras dengan perkembangan demokrasi dalam parti dan memberi kuasa kepada ahli untuk tentukan pucuk pimpinan," katanya.
Berhubung dkelulusan menjadi ahli, Khairy berkata, Pemuda Umno mencadangkan agar ketua Pemuda Umno cawangan juga diberi kuasa untuk menerima ahli Umno. Pada masa ini, kuasa itu diberi kepada ketua cawangan sahaja.
"Banyak Orang berkata, terlalu banyak birokrasi nak jadi ahli Umno atau Pemuda Umno. Antara sebab sebelum ini kelulusan keahlian ini, kuasanya hanya diberikan kepada ketua Umno cawangan.
"Jadi nak jadi ahli Pemuda, Puteri, dan ketua Wanita, ketua cawangan kena tandatangan. Kadang-kadang, ada ketua cawangan, tidak semua, yang berat sikit nak tandatangan keahlian ini," katanya.
Pemuda juga mencadangkan agar ketua pergerrakan Pemuda Wanita dan Puteri Umno diberi status perwakilan tetap ke mesyuarat bahagian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan