HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 September 2009

JPJ tidak buat sekatan jalan raya

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan membuat sebarang sekatan jalan raya sepanjang Ops Sikap Ke-20 bertujuan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di semua laluan utama ketika umat Islam ingin pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pendekatan tidak mengadakan sekatan jalan raya tahun ini melibatkan di semua jalan raya di seluruh negara termasuk Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

''Banyak pengguna jalan raya merungut setiap kali kita mengadakan sekatan jalan raya ia telah menyebabkan kesesakan jalan raya.

''Namun, itu tidak bermakna tiada penguatkuasaan undang-undang, kerana kenderaan JPJ sentiasa berada di jalan raya untuk mengesan mereka yang melakukan kesalahan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengarah-pengarah JPJ negeri dan beberapa syarikat pengusaha bas di Akademi JPJ Tiang Dua, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung, Zawawi Jusoh dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas seluruh Malaysia (PMBOA), Rasul Mohamad.

Beliau berkata, sebanyak 5,081 buah bas daripada 257 syarikat bas telah dikenal pasti akan digunakan pada musim perayaan kali ini.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,200 buah bas telah diperiksa di depoh masing-masing sejak operasi pemeriksaan dimulakan 10 hari lalu.

''Pemeriksaan tertumpu kepada dua aspek utama iaitu brek dan tayar.

''Daripada 1,200 buah bas yang diperiksa, 10 buah bas gagal melepasi ujian brek dan manakala 79 lagi gagal ujian tayar,'' katanya.

Dalam pada itu, Solah berkata, beberapa anggota JPJ berpakaian uniform dan biasa juga akan ditempatkan di pintu-pintu masuk negara bagi memantau sekiranya berlaku penipuan penjualan tiket oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

''Orang ramai yang mempunyai aduan boleh menghubungi Hot Line JPJ di nombor 03-88866412 atau bilik operasi yang beroperasi 24 jam,'' katanya.

Tiada ulasan: