HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 September 2009

Kes Khir Toyo: GERAK Beri Tempoh Tujuh Hari kepada SPRM

TV SELANGOR


Gerakan Rakyat integriti dan Anti Korupsi (GERAK) memberi tempoh tujuh hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan perkembangan siasatan kes kediaman mewah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo yang didakwa bernilai RM20 juta.

Pengerusinya, Mohd Nazri Mohd Yunus berkata, SPRM dilihat lambat bertindak sehingga tiada apa apa laporan dikeluarkan sejak kes itu dibangkitkan tiga bulan lalu.

"Kami beri tempoh 7 hari untuk menyatakan perkembangan kes atau dakwaan, jika tidak Jumaat ini GERAK Malaysia akan hantar memorandum pada SPRM. Saya tuntut pendakwaan segera,” katanya.

Katanya, SPRM perlu bertindak secara adil dan saksama; tanpa mengira seseorang yang didakwa itu dari Pakatan Rakyat atau pemimpin penting UMNO.

Ditanya mengapa perlu tunggu tujuh hari untuk mengantar memo tersebut, Nazri menjelaskan bahawa pihaknya akan bersemuka dengan SPRM bukan untuk membuat pengaduan atau laporan, sebaliknya menunggu maklum balas siasatan berbangkit.

"Berkaitan banglo mewah Khir Toyo ini, kita sudah hantar dakwaan pada 7 Julai lalu; termasuk beberapa pendedahan laman web berkaitan dan sebagainya," jelasnya.

Sambil melahirkan kekesalan atas pendakwaan terpilih SPRM dalam kes Khir Toyo itu, beliau mempersoal komitmen luar biasa SPRM sebelum ini apabila agresif menyisat beberapa kes pendakwaan yang dikaitkan dengan pemimpin Pakatan Rakyat.

Bercakap pada sidang media di Hotel De Palma, Ampang Nazri berkata, keengganan SPRM menyiasat kes Khir Toyo bukan sahaja mengakibatkan kredibiliti suruhanjaya itu terus dipertikai khalayak, malah turut mengakibatkan GERAK sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bebas juga terpalit difitnah sebagai 'buat laporan terpilih' dan proksi Mohd Ezam Mohd Noor.

Beliau turut mencabar Khir menafikan segala pendedahan terbuka yang dilakukan oleh beberapa laman web termasuk oleh mereka yang bergelar UMNO-Reform.

Artikel berjudul Khir Perlu Jawab! dalam UMNO Reform 2, 6 Julai lalu mendedahkan Istana gaya Bali yang terletak di Jalan 1/7L, Seksyen 7 Shah Alam bernilai lebih RM20 juta.

Walaupun SPRM masih belum membuat sebarang pendakwaan kes terbabit, khalayak amnya percaya seseorang ahli politik yang bersih sebenarnya tidak mampu memiliki rumah bernilai RM20 juta, dengan menjawat jawatan Menteri Besar Selangor selama dua penggal pemerintahan sahaja.

Tiada ulasan: