Nobisha
Pelbagai pihak menunjukkan minat yang tinggi terhadap pilihanraya kecil Bagan Pinang yang akan diadakan tidak lama lagi. Pilihanraya ini diadakan berikutan kematian ADUN Bagan Pinang, Azman Mohd Nor yang memenangi kerusi itu dengan mendapat 6,430 undi berbanding calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat 4,097 undi dalam PRU12 lalu.
Bagaimana majoriti yang diperolehi oleh Azman iaitu 2,333 adalah rendah berbanding dengan majoriti 4,411 yang diperolehi oleh Barisan Nasional in 2004, iaitu pada peringkat permulaan Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih jawatan Perdana Menteri.
Kebangkitan minat kepada pilihanraya kecil ini mungkin berpunca daripada beberapa faktor.
Pertama, ia diadakan di kerusi DUN yang disandang oleh Barisan Nasional. Rekod pilihanraya kecil setakat ini menunjukkan daripada dua buah kerusi miliknya, ia berjaya mempertahankan satu kerusi (Batang Air) dan terlepas satu kerusi (Kuala Terengganu).
Sehingga kini juga, Barisan Nasional masih belum berjaya merampas kerusi PAS (Permatang Pasir, Bukit Gantang, Manek Urai) dan PKR (Permatang Pauh, Bukit Selambau). Barisan Nasional tidak bertanding di kerusi DUN Penanti yang dimenangi oleh PKR.
Sekarang, pelbagai pihak ingin melihat adakah PAS berjaya menendang satu lagi gol ke dalam gawang Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang. Atau, adakah Barisan Nasional berjaya mempertahankan golnya dari dibolosi lawan, sekaligus memberikan semangat kepada penyokong parti itu untuk berusaha menjaringkan gol ke gawang lawan dalam pilihanraya kecil seterusnya (ada pilihanraya kecil lagi selepas ini?)
Kedua, Ketua UMNO Teluk Kemang Tan Sri Isa Samad disebut-sebut sebagai bakal calon. Adakah beliau akan dinamakan oleh UMNO atau terdapat calon lain yang akan diketengahkan, sama-samalah kita nantikan. Isa dikatakan sebagai rapat dengan pengundi di Bagan Pinang dan boleh menang pilihanraya kecil itu. Beliau yang pernah menjadi Menteri Besar dan Menteri pusat mempunyai rekod perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Bagaimanapun, beliau pernah dihukum oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana kesalahan tata etika parti bersabit politik wang. Selepas selesai menjalani hukuman tersebut, beliau kembali dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian, menunjukkan populariti Isa di kalangan ahli-ahli UMNO. Adakah populariti Isa di kalangan ahli-ahli UMNO Teluk Kemang mencerminkan populariti di kalangan pengundi? Itu juga adalah persoalan yang menarik penganalisis untuk mengikuti pilihanraya kecil Bagan Pinang.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengatakan Pakatan Rakyat tidak akan menjadikan penggantungan Isa sebagai isu pilihanraya. Saya tidak fikir kenyataan itu dipegang oleh penyokong Barisan Nasional, terutama sekali mereka yang mengikuti gaya politik Anwar.
Kalau pun Anwar memilih untuk mengotakan janjinya itu, ia akan ditafsirkan agar Barisan Nasional tidak mengeksploitasikan kenyataan Anwar bahawa PKR tersalah pilih calon bermasalah dalam PRU12 lalu selepas Radzhi Salleh mengumumkan keluar PKR dan menjadi anggota bebas di DUN Kedah. Mungkin kerana itu jugalah, PKR tidak membuat serangan kepada Radzhi seperti yang dilakukan kepada Othman Jailu dan Jamaluddin Md Radzi yang keluar parti itu di Perak.
Ketiga, lokasi DUN Bagan Pinang yang berhampiran Lembah Klang. Sebahagian besar penduduk Lembah Klang arif dengan Port Dickson yang sinonim dengan Bagan Pinang. Malah, ramai penduduk Bagan Pinang yang berulang-alik dan bekerja di Lembah Klang. Ini jauh berbeza dengan Bukit Selambau atau Manek Urai, apatah lagi Batang Air. Faktor ini juga akan menjadikan pilihanraya kecil Manek Urai diikuti secara dekat.
Ada orang yang bertanya adakah isu tempatan atau nasional akan mendominasikan pilihanraya kecil ini. Agak sukar untuk menjawab isu ini secara tepat. Kedua-dua isu ini saling berkaitan dan mempunyai hubungan rapat. Apa pun, saya percaya akhir sekali rakyat akan membuat keputusan berdasarkan parti dan calon yang dapat membawa kesejahteraan kepada mereka. Untuk membolehkan ini berlaku, semua parti-parti politik yang bertanding hendaklah menguruskan sebarang isu dengan baik.
Barisan Nasional yang lebih 50 tahun memerintah negara dan Pakatan Rakyat yang kini sudah 18 bulan mentadbir beberapa buah negeri di Semenanjung masing-masing mempunyai sumbangan dan masalah tersendiri. Dalam era di mana istilah “kerajaan” dan “pembangkang” menjadi kabur, sesebuah parti politik tidak lagi harus membentuk strategi untuk menyerang pihak lawan saja, tetapi juga harus mencari jalan menutupi kelemahan sendiri. Sekiranya tidak, nanti orang kata, “Kokok bertalu-talu, ekor bergelumang tahi.”
Penyokong-penyokong Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tidak lagi boleh merasakan parti masing-masing terlalu sempurna. Masing-masing ada kelemahan yang boleh dieksploitasi sewaktu pilihanraya. Persoalannya ialah siapakah yang lebih cekap mengeksploitasi isu dan meyakinkan pengundi bahawa parti lawan lebih buruk daripada mereka.
Akhir sekali, adakah keputusan pilihanraya kecil Bagan Pinang boleh diterima sebagai cerminan keputusan PRU13 nanti?
Ya dan tidak.
Ya, kerana ia boleh dilihat sebagai satu corak (pattern) sokongan rakyat. Sekiranya PAS menang, ia akan ditafsirkan bahawa parti itu mampu mencerobohi kawasan milik Barisan Nasional. Sekiranya Barisan Nasional menang di Bagan Pinang, ia memberikan isyarat bahawa kemaraan PAS dan PKR boleh disekat.
Tidak, kerana menguruskan pilihanraya kecil dan pilihanraya umum adalah tidak sama. Dalam pilihanraya umum, sesebuah parti perlu menguruskan 222 kawasan Parlimen dan sejumlah kawasan DUN yang cukup banyak secara serentak. Ia bukan saja melibatkan pengurusan isu, tetapi juga pemilihan calon dan mobilisasi sumber yang banyak secara serentak.
Keputusan pilihanraya kecil tidak semestinya mencerminkan keputusan PRU13 nanti. Walaupun begitu, seperti yang ditegaskan sebelum ini, ia boleh mewujudkan satu corak yang boleh ditafsirkan oleh rakyat yang bakal mengambil mengundi dalam PRU13.
Dalam konteks inilah, keputusan pilihanraya kecil Bagan Pinang menjadi penting kepada semua!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan