KUALA LUMPUR : Majalah terbitan Kristian terawal yang ditulis dalam bahasa Melayu adalah Cermin Mata yang bertujuan membawa ajaran Kristian ke dalam masyarakat Melayu, kata Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan di sini, hari ini.
"Penerbitan Cermin Mata oleh para mubaligh Kristian itu diterbitkan dalam tulisan Jawi ketika itu. Akan tetapi, bersama terbitnya majalah ini telah pun ada gerakan antara ulamak-ulamak yang turut sama berdakwah melalui penulisan ini," kata beliau dalam seminar dunia penerbitan anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh perihal kedudukan Melayu sebagai sebuah tamadun.
"Kalau bangsa-bangsa lain ada menyatakan peninggalan untuk tamadunnya, maka adakah masyarakat Melayu mempunyai tamadun?"
"Dalam hal ini, saya ingin memetik pandangan Ismail Al-Faruqi dalam konteks Islam. Sarjana Muslim itu berkata, tamadun tiba ke dalam sesuatu masyarakat apabila masyarakat tersebut menerima Tauhid sebagai cara hidup mereka," tambah Dr Anwar.
Berdasarkan takrifan Al-Faruqi ke atas pengertian tamadun itu, kata beliau, jika ada peninggalan candi-candi seperti yang ada di Batu Pahat dan lain-lain tempat lagi, maka hal itu sudah tidak penting lagi bagi mengangkat nilai tamadun.
Hal-hal yang berkaitan ketamadunan, tambah beliau, tidak dapat dipisahkan dengan penerbitan dan percetakan.
"Pada kurun ke-6 di China, telah pun wujud percetakan berdasarkan teks-teks yang ditemui pada 594 Masehi, manakala sekitar 860 pula telah wujud teks Buddha di China, Arab dan Mesir dengan cetakan blok yang kemudiannya teknik itu ditiru Barata pada 1,300 dan Guternberg pada 1436.
"Kemudiannya Inggeris memperkenal mesin cetak ke Amerika pada 1638 atau 1639. Akhirnya, wujud penerbit Benjamin Franklin di London dan di New York sebagai Publishing Capital," kata beliau.
Penerbitan terawal di Alam Melayu
Sementara itu, kata Dr Anwar, di Alam Melayu masyarakat sudah diperkenalkan oleh Inggeris melalui Abdullah Munsyi melalui Syair Singapura Terbakar pada 1830, Hikayat Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1838), Hikayat Abdullah (1848) dan seterusnya.
Selain itu, beliau turut menyentuh perkembangan berikutnya seperti penerbtian teks oleh Raja Ali Haji (1809 - 1871), Tuhfat Al-Nafis, Bustanul Katibin (1857), Kitab Pengetahuan bahasa dan Gurindam Dua Belas (1847).
"Antara majalah terawal, ialah Bakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (1888). Dan ini memberi ruang kepada pengarang Melayu untuk mula giat berkarya
"Tapi, ketika ini masyarakat Melayu sudah ada manuskrip dalam bentuk penulisan. Semua manuskrip ini boleh disewakan, dan di halaman depan sudah ada notis. Pertamanya disebut, jangan makan sirih ketika membaca manuskrip, ini kerana pengarangnya takut kalau membaca manuskrip tersebut dengan emosi, takut tersembur air sirih tersebut.
"Pada kurun itu juga, mentaliti, pemikiran yang melihat bidang penulisan sebagai suatu bisnes dan perniagaan, sudah pun bermula," katanya.
Menyentuh perkembangan dunia penerbitan baharu, Dr Anwar berkata, kini telah wujud pelbagai syarikat penerbitan swasta selain DBP yang dimulakan oleh kerajaan.
"Antara yang boleh disebut adalah PTS. Kumpulan penerbitan ini, bukan hanya peka terhadap apa yang dinamakan sebagai 'syariah compliance' tetapi mereka juga tahu tahu 'capture the market'," tambah beliau lagi.
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 26 Februari 2010
‘Cermin Mata’ majalah Kristian terawal berbahasa Melayu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan