HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2010

SPRM: Siasatan dakwaan rasuah Nik Aziz selesai

MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Oleh itu, SPRM menafikan dakwaan suruhanjaya itu tidak melakukan siasatan terhadap dakwaan berkaitan dengan tajaan bagi Nik Aziz (gambar) menunaikan haji dan perlantikan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahya berkata SPRM Kelantan telah selesai menjalankan siasatan kes tersebut dan kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“SPRM Kelantan sudah selesai menjalankan siasatan kes rasuah membabitkan Menteri Besar Kelantan itu pada Januari lalu.

“Sekarang, kita kena tunggu dan terpulang kepada pendakwa raya sama ada mahu melakukan pendakwaan atau tidak,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Terdahulu, Pergerakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan kepada SPRM di sini berhubung sebuah blog menyiarkan artikel “SPRM Kelantan Pro-PAS: Siasatan Kes Nik Aziz Terbengkalai”.

Ketuanya Anuar Sapian berkata pergerakan itu membuat laporan itu kerana mahu SPRM menyiasat dakwaan itu kerana SPRM merupakan sebuah badan bebas.

“Kita mohon Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya mengambil tindakan terhadap apa yang didakwa di dalam laman blog berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Tiada ulasan: