HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2010

Syafiah alami kecederaan parah

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED


HULU SELANGOR - Betapa berat seksaan yang dihadapi oleh Allahyarham Syafiah Humairah Sahari sebelum dia menemui ajal, kelmarin.

Selain dipukul dan ditampar, kanak- kanak malang itu turut dipijak dan ditendang oleh teman lelaki ibunya tanpa belas kasihan, hanya disebabkan oleh kesalahan kecil yang dilakukannya.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek yang tidak berhati perut.

Hari ini, bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat kanak-kanak itu di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati, kematian Syafiah Humairah akibat kecederaan serius termasuk kulit kepalanya terkoyak kerana dipijak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, bedah siasat mendapati, mangsa mengalami penderaan berterusan dan ia boleh dilihat berdasarkan kepada kecederaan yang terdapat pada tubuhnya.

"Terdapat kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dipercayai akibat dipukul dengan objek keras pada tubuh mangsa.

"Kesan lebam turut dikesan di bahagian belakang tubuh mangsa selain di leher, pipi dan bahunya," katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital itu di sini hari ini.

Kelmarin, Syafiah Humairah mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Kanak-kanak malang itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam oleh teman lelaki ibunya, mendakwa dia terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.

Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun kemudian ditahan pukul 3 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, kematian Syafiah Humairah yang begitu kejam turut membongkar rahsia perhubungan haram antara ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya sejak enam tahun lalu.

Ibu kanak-kanak itu yang masih bersuami, disangkakan telah berkahwin dengan suspek kerana mereka memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan, malah, wanita itu kini sedang hamil empat bulan.

Namun, rahsia perhubungan mereka yang hanya menyamar sebagai suami isteri itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati pasangan itu tidak boleh berkahwin kerana wanita itu masih mempunyai suami.

Difahamkan, bapa kanak-kanak malang itu yang hanya dikenali sebagai Sahari ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana didakwa terbabit dalam kes bunuh sejak tahun 2006.

Selain berhadapan tuduhan bunuh, suspek yang ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang syariah kerana bersekedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah.

Tiada ulasan: