HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Februari 2010

PBB esklusif untuk bumiputera saja

BERNAMA


Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti komponen utama Barisan Nasional (BN) Sarawak, tidak akan membuka pintu untuk bukan bumiputera menganggotainya.

Timbalan Presiden PBB Tan Sri Alfred Jabu (kiri, berbaju merah) berkata parti itu memahami sensitiviti parti komponen BN kaum Cina, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang memainkan peranan penting bagi menggalakkan pembabitan lebih aktif kaum Cina dalam BN.

"Kami (PBB) mesti menghormati SUPP," katanya dalam sesi wawancara khas dengan media sempena Konvensyen ke-12 PBB yang diadakan pada 27 Feb hingga 5 Mac di ibu pejabat parti di Kuching.

Jabu, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata individu bukan bumiputera sebagai anggota PBB bukan sesuatu yang baru kerana semasa awal pembentukan PBB, seorang bukan bumiputera bernama Putih Abdullah dari Semera dalam Bahagian Samarahan pernah menjadi anggota dan keanggotaan itu diterima mengikut "keadaan tertentu".

Beliau berkata mengikut keadaan tertentu parti mungkin memberi pertimbangan untuk menerima keanggotaan individu bukan bumiputera terutamanya mereka yang dilahirkan hasil daripada perkahwinan campur antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Ditanya sama ada Sarawak akan menyaksikan satu parti BN tunggal bagi mewakili semua kaum berbanding dengan sekarang iaitu satu parti satu kaum, Jabu berkata kewujudan parti tunggal itu akan mengambil masa untuk direalisasikan kerana ia memerlukan masa untuk memupuk dan memahami konsep itu.

Mengenai masalah dalaman yang dihadapi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), beliau yakin masalah itu tidak menjejaskan BN Sarawak kerana dalam politik pendapat berbeza adalah perkara biasa dan boleh diuruskan.

"Sedangkan suami dan isteri bergaduh tetapi tidak semestinya berakhir dengan perceraian," katanya dan menegaskan bahawa PBB tidak akan campur tangan dalam masalah SPDP kerana percaya masalah itu dapat diselesaikan.

Mengenai konvensyen kali ini, beliau berkata isu-isu tanah akan menjadi satu daripada topik yang akan dibincangkan dan dijelaskan kepada anggota PBB.

Tiada ulasan: