HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Februari 2010

Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)

Oleh Masdar Wahid


DATUK Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor akan menghadiri Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) bersama YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar, Rodziah Ismail, EXCO Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dan EXCO-EXCO kerajaan negeri pada 23 Febuari 2010, pukul 8.00 malam bertempat di Dewan Seksyen 19, Shah Alam.

Majlis dianjurkan untuk meraikan dan mengimbas kembali usaha-usaha Kerajaan Negeri membela nasib rakyat melalui program-program kebajikan, yang menjadi teras kepada dasar MES. Majlis akan menemukan lebih 300 orang bakal penerima sumbangan Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Hadiah Anak Masuk Universiti dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.

Sejak dilancarkan pada Jun 2008, seramai 111,397 warga emas yang layak telah mendaftar dibawah dasar SMUE untuk menerima bantuan dalam bentuk khairat kematian dengan jumlah peruntukkan Kerajaan Negeri sebanyak RM 20 juta. Setakat ini, seramai 9,780 waris/penama telah menerima sumbangan dari skim ini.

Perlaksanaan dasar TAWAS pula dimulakan sejak 31 Ogos 2008 dan sehingga kini sebanyak 16,927 permohonan telah diluluskan dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM 17 juta.

Bagi dasar Hadiah Anak Masuk Universiti, Kerajaan Negeri berjaya mencapai hampir 100% kadar penembusan dengan hampir RM 10 juta telah dibelanjakan bagi membantu 9,581 orang pelajar yang layak untuk memulakan pengajian tinggi mereka. Kerajaan Negeri turut memperuntukan RM 2 juta bagi membantu pendidikan anak-anak perkeja ladang yang disalurkan melalui Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.

Jumlah keseluruhan yang telah diagihkan dan dipulangkan secara langsung kepada rakyat menerusi program-program ini adalah sebanyak RM 49 juta sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kerajaan di Negeri Selangor.

Sejak dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluangkan masa menilai dan mengkaji cadangan penambahbaikan program-program kebajikan, termasuk cadangan meluaskan SMUE untuk meliputi perlindungan perubatan percuma untuk warga emas yang sedang diteliti oleh Kerajaan Negeri. Beliau juga memantau kejayaan program-program kebajikan seperti ini untuk memastikan tidak berlaku keciciran mereka yang berkelayakan.

PEJABAT PENASIHAT EKONOMI NEGERI SELANGOR

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi En. Akmal Nasir di talian 03-55119052 (samb. 281)

Sukacita dimaklumkan saudara-saudari dijemput ke Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) pada:

Tarikh: 23 Febuari 2010 (Selasa)

Masa: 8:00 malam

Tempat: Dewan Seksyen 19, Shah Alam, Selangor

Tiada ulasan: