HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2010

Pelajar perempuan dalang pecah rumah keluarga

BERITA HARIAN ONLINE


JERTEH: Seorang pelajar perempuan yang ketagih menonton rakaman klip video lucah yang dibeli daripada dua rakannya sehingga berhutang lebih RM1,000 bertindak nekad membenarkan rumahnya di Jalan Haji Wan Latiff, di sini, dirompak rakannya itu bagi melunaskan hutang.

Pelajar Tingkatan Empat itu mengambil kesempatan ketika mereka sekeluarga bercuti di Kuala Lumpur, Khamis lalu, dengan membenarkan dua rakannya itu yang juga pembekal klip video lucah memecah masuk ke rumah dengan membuka selak tingkap rumah yang sebelum itu sudah dikunci kemas bapanya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata pelajar itu bertindak merenggangkan kunci tingkap rumahnya bagi membolehkan dua rakan perempuannya itu memecah masuk dan mengambil barangan berharga bagi melunaskan hutangnya.

Beliau berkata, sebaik keluarga pelajar berkenaan pulang ke rumah, mereka terkejut mendapati tingkap rumah telah diumpil dan keadaan dalam rumah berselerak.

Selepas diperiksa, mereka dapati tiga rantai emas serta masing-masing satu gelang dan cincin emas milik ibunya yang disimpan dalam bilik utama hilang.

Terkejut dengan kejadian itu dan tanpa mengetahui anak perempuannya adalah dalang kejadian curi berkenaan, bapa pelajar terbabit berusia lingkungan 50-an membuat laporan di Balai Polis Jertih kira-kira jam 11.30 pagi Jumaat dan sepasukan polis ke tempat kejadian untuk mengesan bukti.

Bagaimanapun, Kamaruddin berkata, pelajar terbabit mengejutkan polis apabila menghubungi seorang anggota polis sambil mengakui dia tahu siapa yang memecah masuk rumah keluarganya itu.

“Anggota polis yang terkejut dengan pengakuan pelajar itu kemudian melakukan soal siasat yang kemudian membongkar modus operandi yang dirancang ketiga-tiga pelajar perempuan terbabit.

“Ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jertih untuk diambil keterangan dan semua barang kemas yang hilang turut dijumpai. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dilepaskan sebaik selesai memberi keterangan,” katanya.

Kamaruddin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan dan pecah rumah.

Pihaknya sudah menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Kamaruddin berkata, ibu bapa dan pihak sekolah perlu melakukan pemantauan lebih kerap terhadap anak dan pelajar bagi membanteras salah laku serta pembabitan pelajar dalam kegiatan memuat turun klip video lucah yang jelas aktiviti tidak bermoral.

“Pemeriksaan perlu dilakukan lebih kerap oleh guru dan ibu bapa untuk menghalang pelajar menyimpan dan membawa klip video lucah ke sekolah. Mereka juga perlu didedahkan mengenai kesalahan ini dan tindakan yang boleh dikenakan mengikut undang-undang di bawah Akta Multimedia,” katanya.

Tiada ulasan: