Kerajaan Persekutuan Umno-BN harus berhenti memutarbelitkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 semata-mata untuk menafikan rakyat Kelantan hak royalti minyak, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.
Sebaliknya, parti pemerintah sepatutnya bertindak atas usul Pakatan Rakyat di Parlimen yang menuntut kesamaran terma "luar pesisir pantai" di bawah akta itu di atasi dan hak negeri-negeri mendapatkan royalti diperakui dengan jelas.
Saifudin berkata, Umno-BN sengaja menggunakan definisi samar “luar pesisir pantai” untuk menafikan royalti minyak kepada mana-mana negeri yang jatuh ke tangan pembangkang, seperti Terengganu pada tahun 1999 dan Kelantan, sejak 1990.
Beliau berkata, tindakan Umno-BN menggunakan duit rakyat untuk menyiarkan iklan-iklan di media arus perdana bagi menyokong dakwaannya bahawa Kelantan hanya layak mendapatkan wang ehsan adalah tidak bermoral.
"BN menafikan hak rakyat Kelantan mendapatkan royalti atas alasan terma "luar pesisir" pantai yang kabur dalam APP. Maksud APP adalah jelas terutamanya apabila negara kita tidak mempunyai telaga minyak dalam lingkungan 3-batu nautika," tegas Saifuddin.
"APP tidak dirangka dalam tahun 1974 dengan merujuk kepada telaga minyak yang tidak wujud; ia merujuk kepada realiti operasi yang wujud dalam industri minyak dan gas negara pada ketika itu - maknanya semua telaga minyak berada jauh dari pantai," jelas beliau.
Saifuddin menjelaskan usul yang dibawa oleh Pakatan ke Dewan Rakyat pada Disember 2009 berupaya memastikan APP dikemaskini selari dengan keadaan semasa.
"Semasa APP 1974 di rangka, Malaysia hanya mempunyai beberapa telaga minyak di luar pesisir pantai seperti carigali Tapis di Terengganu dan Temungo di Sabah," kata Saifuddin menjelaskan rujukan akta tersebut.
"Telaga-telaga minyak inilah yang menjadi rujukan utama kepada mereka yang merangka APP, apabila mereka memperkenalkan istilah "luar pesisir pantai" di dalam APP," tegas Saifuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan