Oleh BORHAN ABU SAMAH
MAJLIS Ulama Indonesia pernah mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, namun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya tidak wajar.
Kritikan itu kerana Facebook kini menjadi medium penting di Indonesia, bahkan di seluruh dunia untuk orang ramai berkomunikasi di dunia maya. Sehingga rakan-rakan yang puluhan terpisah, dapat ditemui semula hanya melalui Facebook.
Selain menghubungkan silaturahim, Facebook juga menjadi alat komunikasi secara percuma tanpa mengira, jarak atau batas sempadan negara.
Namun perkembangan yang begitu cepat menyebabkan banyak pihak belum bersedia dengan kesan buruk yang muncul bersama teknologi terkini itu.
Facebook ibarat pisau yang mempunyai dua mata, selain memberi kemudahan, ia juga mempunyai keburukan jika tidak dapat dikawal, khususnya bagi golongan remaja dan murid-murid sekolah yang masih mentah serta dangkal fikirannya.
Memiliki akaun Facebook bagaikan suatu yang wajib di Indonesia dan sesiapa tidak mempunyai akaun Facebook dia akan dianggap telah ketinggalan zaman.
Di negara republik itu juga para pengendali telekomunikasi berlumba-lumba menawarkan pakej langganan dan telefon bimbit yang mempunyai kemampuan mengakses Facebook pada kadar yang cukup murah.
Kebanjiran telefon bimbit dari negara China dengan ciri-ciri akses Facebook menyebabkan kanak-kanak yang masih berada di sekolah rendah telah mampu memiliki telefon bimbit sedemikian.
Dengan berjimat duit belanja sekolah untuk beberapa bulan mereka telah dapat membeli sebuah telefon bimbit sedemikian.
Selain itu mereka juga dapat mengakses Facebook di kafe siber yang berselerak di seluruh Indonesia, khususnya di kota-kota utama.
Kini Facebook menjadi masalah baru kepada ibu bapa yang tidak mengikuti perkembangan teknologi itu. Anak-anak yang masih berada di bangku sekolah rendah menjadikan Facebook untuk berkenalan dengan teman yang baru.
Baru-baru ini seorang murid perempuan sekolah rendah di Jakarta hilang dari rumah kerana mengikut teman lelaki yang dikenali melalui Facebook.
Bagaimanapun selepas dua hari hilang, murid perempuan itu ditemui oleh orang ramai dan diserahkan kepada ibu bapanya setelah kisah kehilangan murid berkenaan dihebahkan oleh sebuah stesen televisyen.
Teman lelakinya baru berusia belasan tahun, ditangkap polis, namun akhirnya dia dibebaskan kerana ibu bapa gadis berkenaan menarik kembali laporan polis, setelah mendapati anaknya selamat dan tidak diapa-apakan.
Sebelum itu seorang gadis berusia 14 tahun diculik oleh teman lelaki yang baru dikenali melalui Facebook. Setelah berjaya dikesan polis, gadis itu diselamatkan dan teman lelakinya telah diberkas dan kini didakwa di mahkamah kerana menculik.
Empat orang pelajar sebuah sekolah menengah pula dibuang sekolah kerana menulis kata-kata kesat dan mengugut guru wanita mereka di dalam Facebook.
Sebelum itu seorang lelaki berdepan dengan hukuman penjara lima tahun jika didapati bersalah kerana menghina rakannya di dalam Facebook.
Setiausaha Agung Suruhanjaya Nasional Perlindungan Anak Indonesia, Arist Merdeka Sirait berkata, fenomena baru itu harus diawasi oleh ibu bapa kerana ia memberi kesan yang negatif kepada anak-anak jika tidak digunakan dengan betul.
Ibu bapa katanya, tidak seharusnya melarang anak-anak daripada memiliki akaun Facebook, sebaliknya mereka perlu sama memiliki akaun berkenaan dan menjadi kawan kepada Facebook anak mereka sebagai langkah pencegahan dan kawalan daripada pengaruh yang tidak baik.
Badan bukan kerajaan itu setakat ini telah menerima 36 aduan berhubung kes anak dan remaja yang menjadi mangsa kepada Facebook sejak Januari hingga Februari tahun ini.
Untuk penculikan anak, kami mencatat ada tujuh kasus yang dilaporkan," kata Arist.
Menurut Arist, laporan tersebut menunjukkan modus operandi perdagangan anak dan mangsa rogol berpunca daripada Facebook.
Namun aspek utama yang harus diberikan perhatian oleh ibu bapa adalah masa meluangkan masa untuk anak-anak.
Kebanyakan anak-anak yang terbabit dengan gejala sosial berpunca daripada sikap ibu bapa yang gagal meluangkan masa untuk anak-anak.
Anak-anak khususnya perempuan memerlukan perhatian, pujian, kasih sayang dan pengiktirafan. Jika itu tidak diperolehi di rumah mereka akan mencarinya di luar. Cara paling mudah adalah dengan mencari kenalan melalui Facebook.
Apabila anak-anak mula mencurah perasaan melalui Facebook dan tidak lagi kepada ibu atau bapanya, ia merupakan petanda bahawa akan timbul masalah.U/M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan