HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2010

Royalti minyak: Ku Li jumpa PM, tapi Muhyiddin hairan

BERNAMA



Tan Sri Muhyiddin Yassin (bawah) hairan dengan tindakan serta kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan Persekutuan mengenai isu royalti minyak Kelantan sedangkan pelbagai langkah penjelasan sudah diberikan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu juga telah pun berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara tersebut.

"Saya dimaklumkan beliau (Tengku Razaleigh) telah berjumpa dengan Perdana Menteri, tetapi saya tidak tahu apakah sebab dia hendak teruskan langkah itu.

"(Tindakannya itu) seolah-olah macam beliau seorang saja yang memperjuangkan hak rakyat Kelantan... (seolah-olah) kita ini tiada langsung pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Transformasi Politeknik di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang itu, yang terus mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak Kelantan.

Terbaru, Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata, iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan Persekutuan menerusi akhbar-akhbar bahasa Malaysia baru-baru ini menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata ramai pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) Kelantan telah pun memberikan penjelasan serta penerangan berhubung isu royalti minyak itu dan ia akan diteruskan.

"Kita tidak akan berhenti kerana mereka ambil langkah daripada sudut politik...kita mengambil langkah daripada sudut memberikan penjelasan perkara yang sebenar," katanya.

Beliau berkata ramai rakyat Kelantan termasuk golongan profesional dan berkelulusan tinggi mengakui bahawa tindakan yang dilakukan kerajaan Persekutuan menyalurkan wang ehsan adalah tepat dan tidak menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Umno sedang meneliti tindakan serta kenyataan yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh (kiri), walaupun apa yang dilakukannya itu adalah bersifat peribadi.

"Kita akan lihat perkembangan ini seterusnya... akhirnya beliau akan sedar. Ini bukan soal kita hendak aniaya rakyat Kelantan atau sesiapa pun. Kita memberikan penjelasan berdasarkan hak... yang betul.

"Kalau mereka beranggapan kita bertindak bertentangan dengan undang-undang, kita beritahu mereka supaya bawa perkara ini ke mahkamah. Tetapi daripada kenyataan (Setiausaha Agung PAS) Datuk Mustapa Ali, perkara ini (bawa ke mahkamah) tidak akan dilakukan.

"Jadi mereka hendak mempolitikkan soal yang sebenarnya sudah jelas diterangkan daripada sudut undang-undang. Kita tidak buat sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang. Atas dasar itu, saya harap rakyat Kelantan faham. Seperti yang kita lakukan di Terengganu... atas dasar pertimbangan yang kerajaan buat, bukan soal royalti minyak.

"Kita tidak gunakan perkataan royalti. Kita jelaskan itu adalah langkah ehsan. Kita membantu atas pertimbangan dan kebijaksaan kerajaan Persekutuan. Sebab itu mereka perlu terima penjelasan kita sebagai satu penjelasan yang betul," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata apa yang dilakukan kerajaan Persekutuan dalam memberikan wang ihsan adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang dan penjelasan menerusi iklan di akhbar-akhbar diterima baik oleh rakyat Kelantan.


Tiada ulasan: