BERNAMA | ||
|
Golongan pengeluar sewajarnya berasa “malu” apabila mengatakan mereka mengaut keuntungan tetapi pada dasarnya sebahagian besar kos mereka ditanggung pihak lain iaitu kerajaan.
Mengambil contoh gas, sebahagian besar industri berubah kepada penggunaan gas bagi menjalankan aktiviti pengeluaran produk mereka berikutan harga yang lebih murah berbanding diesel.
Walhal kedua-duanya disubsidi oleh kerajaan dan yang membezakannya adalah lebih tinggi atau rendah jumlah subsidi itu.
Harga gas yang disubsidikan bagi sektor tenaga adalah RM10.70 setiap juta unit termal British (mmbtu), pengguna terbesar RM15.35/mmbtu, dan Gas Malaysia Sdn Bhd RM11.05/mmbtu.
Harga tanpa subsidi atau harga pasaran gas ketika ini bagi sektor tenaga adalah RM41.16/mmbtu, pengguna terbesar RM56.20, dan Gas Malaysia RM42.35/mmbtu.
Bagi diesel pula, harga diesel bersubsidi bagi nelayan dan pengangkutan adalah RM38.65/mmbtu atau RM1.43 seliter dan harga di pam ialah RM45.95/mmbtu atau RM1.70 seliter.
Melihat angka-angka ini, pihak industri pasti boleh membezakan harga gas bersubsidi yang mereka “nikmati” selama ini.
Golongan sasar bagi subsidi seperti para nelayan pula pasti “menggelengkan kepala” melihat betapa rendahnya subsidi yang mereka terima jika dibandingkan sebahagian besar industri itu.
Kerajaan dianggarkan menanggung beban bagi subsidi gas sahaja melebihi RM20 bilion pada tahun ini dan akan terus “menggunung” pada tahun-tahun akan datang sekiranya harga gas terus disubsidikan.
Lebih malang adalah jumlah subsidi yang pada awalnya berada pada sekitar RM7 bilion pada lima tahun lalu hanya dinikmati oleh sebahagian industri tertentu tetapi tidak oleh masyarakat keseluruhan.
Sebahagian besar industri ini mungkin “pura-pura” tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak cekap dalam penggunaan bahan api atau komoditi tersebut dengan berterusan menggunakan gas berharga rendah “akibat” disubsidikan kerajaan.
meningkatkan daya saing.
Berdasarkan Perjanjian Pembekalan Gas di antara Petronas dan pembeli (elektrik dan bukan elektrik), harga gas yang dibekalkan oleh Petronas disandarkan kepada harga minyak bahan api medium (MFO).
Umum mngetahui harga minyak di pasaran dunia meningkat sepanjang tahun lalu menjadikan harga MFO turut menghadapi trend yang sama.
MFO didagangkan sekitar AS$72 setong pada Disember 2009 berbanding AS$37 setong pada Mac 2009.
Semakin tinggi harga MFO, semakin tinggi juga subsidi yang perlu diperuntukkan kerajaan bagi sebahagian industri yang menggunakan gas.
Kerajaan terus dibebankan lagi untuk menampung subsidi berikutan permintaan gas daripada sebahagian industri tertentu yang juga semakin tinggi.
Tenaga Nasional Bhd turut menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan gas daripada Petronas dan ini telah memaksanya bertukar sebahagian penjanaan elektrik kepada arang batu.
Mungkin sudah tiba masanya bagi pihak kerajaan mendasarkan harga bahan api seperti MFO, diesel, gas dan arang batu kepada harga pasaran agar sebahagian industri tempatan akan mempunyai lebih banyak pilihan.
Dengan itu, pergantungan kepada bekalan gas tidak akan begitu tinggi atau keterlaluan kerana harga pasaran antara suatu bahan api dengan yang lain kemudiannya tidak akan jauh berbeza.
Sehubungan ini, sebahagian besar industri boleh memilih untuk menggunakan bahan api yang lain sekiranya bekalan gas tidak dapat dipenuhi.
Pilihan bahan api yang lebih luas akan mengurangkan tekanan ke atas permintaan terhadap sumber gas tempatan yang semakin menyusut.
Langkah atau dasar yang dicadangkan seterusnya akan membantu memanjangkan hayat rezab gas negara untuk kegunaan generasi akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan