HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Februari 2010

Tanah runtuh Indonesia: Mayat ke-6 ditemui, 66 masih hilang

LAPORAN - AP


CIWIDEY (Indonesia): Pasukan penyelamat menggunakan kelengkapan berat bagi menggali tanah runtuh yang diliputi lumpur yang meragut sekurang-kurangnya enam mangsa dan menimbuskan 66 yang lain di kepulauan utama Jawa di sini.

Hujan lebat berpanjangan menyebabkan berlakunya tanah runtuh di kawasan pergunungan ladang teh, petang semalam, berdekatan kampung Tenjoljaya di daerah Ciwidey, wilayah Jawa Barat, turut memusnahkan rumah di situ.

Penduduk kampung menggunakan peralatan ladang dan tangan sebelum berjaya menemui mayat keenam yang tertimbus di dalam lumpur, lewat semalam.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Priyadi Kardono berkata, dua mesin pengorek tiba bagi membantu usaha menyelamat yang diteruskan hari ini.

“Penyelamat sudah mengeluarkan enam mayat secara manual daripada lumpur dan 66 lain yang masih tertimbus dikhuatiri terbunuh,” katanya.

Beliau berkata, 15 mangsa lain tercedera dan dua daripadanya sudah dimasukkan ke hospital.

Kira-kira 600 penduduk kampung, katanya sudah dipindahkan ke kawasan perlindungan sementara ke kawasan lebih selamat.

Mengulas angka kematian, Kardono berkata, 25 mangsa dipercayai terbunuh di kilang dan pejabat ladang itu, tetapi masih belum dapat disahkan selepas penemuan mayat keenam.

Tiada ulasan: