HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2010

‘Saya tak akan cerai Bella’

Oleh Suhana Roslan


KUALA LUMPUR: “Saya tahu undang-undang di Malaysia memang akan masuk penjara kalau larikan gadis bawah umur. Kalau saya boleh jadi halimunan memang saya akan datang untuk peluk dan cium isteri saya,” kata Hafiz Sukma, 29, suami pelakon remaja, Salsabila Yunan, 15, atau dikenali sebagai Bella.

Hafiz yang kini bekerja sebagai petani di Lombok, Jawa Timur juga tidak akan menceraikan isterinya yang sedang hamil lima bulan itu walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan kerana dia juga sangat menyayangi pelakon drama tempatan Gerak Khas, Ke Syurga Cinta dan Renjis itu.

Katanya, sejak isterinya yang dipanggil Baby itu pulang ke pangkuan keluarga tiga hari lalu, dia menelefon isterinya setiap hari bagi melepaskan rindu dan bertanya khabar mengenai kesihatan diri dan kandungannya.

“Kami saling menangis di telefon tetapi saya selalu menasihatkan Baby supaya menghormati ayah dan kakaknya selain menjaga kandungan sebaik mungkin kerana saya tiada di sisi.

“Sekiranya mendapat restu daripada keluarganya memang saya akan terbang serta-merta ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengannya sekali gus mencari pekerjaan bagi menyara kehidupan kami kelak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Hafiz berkata, selepas lebih 10 tahun menetap di Malaysia dia mengetahui hukuman yang bakal diterimanya malah sebelum membuat keputusan pulang ke Lombok, dia beberapa kali memberitahu Bella akibat daripada perbuatan mereka itu.

Ketika ditanya alasan dia melarikan isterinya itu, Hafiz memberitahu dia tidak memaksa Bella mengikutinya malah memujuk gadis itu supaya pulang ke pangkuan keluarga tetapi wanita itu mengugut akan membunuh diri jika dipaksa pulang.

“Saya tidak sanggup melihat wanita yang saya cintai membunuh diri, justeru, saya nekad untuk membawanya ke Lombok untuk membina hidup baru bersama ibu dan ayah saya yang tidak berapa sihat.

“Sepanjang Baby berada di Lombok, kami selalu menghabiskan masa bersama
di sawah dan saya dapat rasakan Bella sangat tenang di samping saya walaupun kehidupan kami tidak mewah,” katanya.

Hafiz hanya mampu mengeluh ketika dimaklumkan mengenai permintaan Bella yang inginkan dirinya berada di sisi ketika melahirkan anak sulung mereka nanti.

“Memang itu yang saya mahukan, tetapi apa daya saya, saya tak boleh ke Kuala Lumpur, saya tak nak masuk penjara,” katanya.

Lelaki yang pernah bekerja sebagai mekanik di sekitar Gombak dan Kajang itu masih mengharapkan bapa mentuanya, Yunan Mat Ayat, 77 dan kakak iparnya, Faridah Yunan supaya merestui perhubungan mereka bagi membolehkan dia menjaga isterinya itu.

“Saya izinkan dia pulang walaupun berat hati hendak berpisah dengannya lagipun, tetapi saya tak nak dia jadi anak derhaka. Sebagai suami saya hanya mampu panjatkan doa dari kejauhan untuk kesejahteraan hidupnya,” katanya.

Tiada ulasan: