KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang akan memainkan peranan penting bagi menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian program pembangunan belia, umum Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Perdana Menteri berkata jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianggotai oleh 12 kementerian yang berkaitan, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan dan kehendak semasa, tetapi juga bagi menentukan generasi muda lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi negara di masa depan.
"Selain dari itu, jawatankuasa ini juga akan mempelopori pelbagai usaha bagi membentuk generasi muda hari ini sebagai generasi pewaris negara yang memainkan peranan penting meneruskan kesinambungan dan agenda pembinaan negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan makmur," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Najib berkata jawatankuasa itu akan dapat menyumbang pelbagai pembaharuan kepada usaha membangunkan dan memberi manfaat kepada generasi muda iaitu mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun yang sekarang berjumlah 11.4 juta orang.
"Antara pembaharuan yang akan diberi tumpuan ialah mekanisme Pengurusan Pembangunan Belia, Pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 688)," katanya.
Selain pelaksanaan menyeluruh terhadap semua dasar pembangunan belia, beliau berkata usaha juga akan dilakukan bagi meningkatkan penyelarasan dan kerjasama antara agensi berkaitan belia.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan terus membantu golongan belia untuk menikmati kemajuan negara, memperkukuhkan semangat patriotisme, membudayakan pemikiran gagasan 1Malaysia dan 1Belia.
Juga membangunkan semangat keusahawanan, melahirkan belia bebas jenayah dan sama-sama meningkatkan peranan belia dalam isu keamanan dan ketahanan nasional serta memperjuangkan nilai sejagat, katanya.
Beliau berkata menerusi jawatankuasa ini, fungsi dan peranan antara agensi kerajaan yang terlibat dalam pembangunan belia akan dapat diselaraskan semula, sekaligus akan memastikan bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam bidang pembangunan belia dapat dicapai oleh kerajaan sebelum tahun 2012.
"Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi cadangan kepada penubuhan jawatankuasa ini terutama daripada kepimpinan belia pelbagai peringkat, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN)," katanya.
Beliau berkata selain itu, sumbangan idea dan pemikiran bernas ahli-ahli jawatankuasa Kabinet itu akan mewujudkan era baru pengurusan negara dalam pembangunan belia dengan perubahan besar yang melibatkan aspek tanggungjawab, sistem dan perluasan peranan bidang pembangunan tersebut.
"Kerajaan yakin golongan belia akan menikmati manfaat dan pembangunan yang lebih meluas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan