HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2010

Ku Li berhak bersuara

SINAR HARIAN ONLINE


BACHOK - Semua pemimpin dan anggota UMNO termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah boleh menyuarakan pandangan berhubung isu tuntutan royalti minyak di Kelantan asalkan tidak menjejaskan parti.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun menegaskan, setiap pandangan yang diutara harus berasaskan ‘semangat kekeluargaan’ yang sekali gus tidak menjejaskan keharmonian parti.

”Kerajaan bersikap terbuka dalam menerima pandangan mereka tetapi pandangan itu perlu disuarakan dengan cara yang bijak tanpa mewujudkan sebarang polemik politik yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Satu Program Universiti Malaysia Kelantan, Satu Daerah 2010 di Sekolah Menengah Teknik Bachok, di sini, semalam.

Kelmarin, Tengku Razaleigh berkata, beliau tetap setia kepada UMNO walaupun mendakwa pelbagai pihak menuduhnya sebagai pengkhianat berikutan penjelasan mengenai isu royalti minyak di Kelantan.

Beliau berkata, segala penjelasan berhubung perkara itu bertujuan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat Kelantan terhadap perjuangan UMNO dengan sikap berterus terang tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Dalam pada itu Mustapa berkata, pihaknya menghargai pendirian kesetiaan Tengku Razaeleigh meskipun pernah muncul bersama pemimpin Pas bagi menyokong isu tuntutan wang royalti minyak kepada Kelantan sebelum ini.

”Kita mengalu-alukan pendirian Ku Li dalam hal ini, satu perkembangan yang positif. Kita menghargai beliau dalam UMNO dan berterima kasih atas kenyataan yang dibuatnya,” katanya.

Dalam menyelesaikan isu itu, Mustapa berkata, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh baru-baru ini, disusuli pertemuan antara pemimpin veteran itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiada ulasan: