KUANTAN — Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menahan seorang jurunikah yang dipercayai menjalankan akad nikah terhadap pasangan-pasangan yang tidak ada kebenaran untuk berkahwin, dalam serbuan di rumahnya di Kampung Kempadang di sini hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jaip Raflie Ab Malek berkata jurunikah yang berusia 62 tahun itu ditahan pada pukul 1.40 tengah hari tadi kerana menjalankan kegiatan nikah yang menyalahi undang-undang walaupun bertauliah sebagai jurunikah sah.
“Suspek sebenarnya mempunyai tauliah sebagai seorang jurunikah bagaimanapun cara yang digunapakai lelaki berkenaan menyalahi undang-undang yang ditetapkan selain dipercayai salah dari hukum syarak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya lelaki itu dipercayai menjalankan akad nikah terhadap pasangan-pasangan yang tidak ada kebenaran untuk berkahwin dengan mengenakan bayaran melebihi RM1,000.
Beliau berkata tugas-tugas jurunikah yang dilakukan oleh lelaki itu juga dipercayai mempunyai rangkaian seperti sebuah sindiket dan dipercayai beroperasi sejak lima tahun lepas.
Menurutnya kegiatan itu juga berdasarkan daripada siasatan dan penemuan beberapa dokumen perkahwinan seperti sijil nikah yang mempunyai cetakan dari Thailand yang ditemui di rumahnya.
Raflie berkata bagi kesalahan itu suspek akan didakwa di bawah Seksyen 40 (1) Enakmen Undang-Undang Islam Pahang 2005 di mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan