HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2010

Najib: Pertemuan dengan Ku Li cerita lama

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pertemuan beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang dimaksudkan timbalannya semalam adalah sesuatu yang telah “lama” berlangsung.

Malah beliau juga enggan menceritakan hasil pertemuan kedua-dua mereka.

“Tak perlu cerita... lama dulu (sudah lama berlangsung),” kata beliau ringkas ketika ditanya bila pertemuan itu berlangsung dan apa yang disentuh mereka.

Ketika ditanya sama ada mesyuarat Umno kali ini ada membincangkan sebarang tindakan ke atas Tengku Razaleigh yang dikatakan bertindak bertentangan dengan semangat parti, Najib yang juga Presiden Umno berkata: “(Kami) nak dengar pendapat ahli-ahli dulu.”

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat lebih tiga jam Majlis Tertinggi Umno di sini malam tadi.

Pagi semalam Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau hairan dengan tindakan dan kenyataan Tengku Razaleigh yang masih tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan persekutuan mengenai isu royalti minyak Kelantan sedangkan pelbagai langkah penjelasan sudah diberikan.

Malah, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu juga telah pun berjumpa dengan Najib berhubung perkara tersebut.

“Saya dimaklumkan beliau (Tengku Razaleigh) telah berjumpa dengan Perdana Menteri, tetapi saya tidak tahu apakah sebab dia hendak teruskan langkah itu.

“(Tindakannya itu) seolah-olah macam beliau seorang saja yang memperjuangkan hak rakyat Kelantan... (seolah-olah) kita ini tiada langsung pertimbangan,” katanya.

Pendirian Tengku Razaleigh menjadi perhatian ekoran kenyataan beliau hujung bulan lalu bahawa Kelantan layak menerima royalti lima peratus bukannya wang ihsan.

Sehingga kini beliau terus mempertahankan pendiriannya dengan berkata tindakan kerajaan pusat bertentangan dengan perjanjian dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Sebaliknya Najib malam tadi menegaskan, tindakan kerajaan pusat sekarang tidak bertentangan dari sudut perundangan dan ini turut diperakui oleh pakar-pakar undang.

Kata beliau, bantuan dalam wang ihsan akan terus diberikan kepada rakyat Kelantan.

Bagaimanapun katanya, terpulang kepada negeri itu untuk menerima ataupun sebaliknya bantuan tersebut.

Tiada ulasan: