HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2010

Warkah Guantanamo

Gambar terbaru Hambali yang sedang membaca Al-quran di Kem Guantanamo, Cuba.

CIANJUR (Jawa Barat): Sejak ditahan di Thailand pada tahun 2003, kita tidak pernah menatap wajah pengganas bernama Hambali - pemimpin keempat terpenting dalam rangkaian al-Qaeda dan Osama bin Laden - yang dikaitkan dengan pengeboman Bali dan juga serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York.

Tetapi hari ini untuk pertama kalinya dalam tempoh tujuh tahun, wajah terbaru lelaki itu - seorang rakyat Indonesia beristerikan rakyat Malaysia - dipaparkan kepada umum dalam laporan “eksklusif dunia” Mingguan mStar.

Dalam proses untuk memperoleh laporan eksklusif ini, wartawan Mingguan mStar telah menjelajah dari Kuala Lumpur ke Jakarta dan kemudiannya ke Cianjur di Jawa Barat sebelum menyusuri pedalaman dalam kegelapan malam tanpa bintang sehingga tiba di kediaman asal Hambali.

Dilihat sebagai salah seorang daripada segelintir anggota bukan Arab dalam rangkaian al-Qaeda, Hambali kini sedang dipertimbangkan untuk dibawa ke ibu negara Amerika Syarikat, Washington D.C. atau New York untuk perbicaraan di mahkamah terbuka.

Pusat tahanan Guantanamo yang ditadbir oleh AS di tengah Cuba kini dalam proses penutupan atas arahan Presiden Barack Obama.

Gambar Hambali yang dirakam pada tahun 1995 semasa perkahwinannya

Pada 15 Disember tahun lalu, presiden itu menandatangani memorandum mengarahkan sebuah pusat pemulihan baru diwujudkan di bandar Thomson, Illinois bagi penempatan semula para tahanan dari pusat tahanan yang mendapat bantahan penduduk dunia.

Berita mengenai perbicaraan Hambali itu telah menimbulkan reaksi negatif di kalangan penduduk dan masyarakat di kedua-dua buah bandar raya terbabit kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Perbicaraan Hambali, 46, dianggarkan melibatkan wang pembayar cukai sebanyak AS$250 juta (RM851 juta) - bakal menjadikannya perbicaraan paling mahal di dunia.

Sementara nasib tahanan tersebut sedang mengambil tempat, tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai nasib dua orang rakyat Malaysia yang sedang ditahan di Teluk Guantanamo.

Kedua-duanya - Mohd Farik Amin@Zubair dan Mohd Nazir Lip@Lilliie - disifatkan sangat berbahaya dan mempunyai kaitan secara langsung dengan Jemaah Islamiah, iaitu sebuah lagi organisasi yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.

Amin dan Nazir dipercayai menerima arahan secara langsung daripada Hambali untuk melaksanakan serangan di bumi AS.

Gambar ketika keluar meninggalkan Malaysia pada tahun 2001.

Mingguan mStar yang berjaya menjejaki kampung halaman keluarga Hambali di sini baru-baru ini, telah memperoleh foto terbaru Hambali dan juga berpeluang menatap surat-surat yang dikirimkan kepada keluarganya itu dari Guantanamo.

Gambar terbaru lelaki buruan AS itu dipercayai dirakamkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di dalam selnya di Kem Delta - iaitu salah satu daripada tiga blok utama kem tahanan Guantanamo.

Ia menunjukkan Hambali yang memakai baju tahanan duduk membaca al-Quran dan kelihatan jauh lebih kurus dengan jambang yang lebih panjang berbanding gambar-gambarnya semasa ditahan pada tahun 2003 dan juga pada tahun 2001 ketika dia berjaya meloloskan diri dari Malaysia.

Bagaimanapun, Hambali berjaya ditangkap di Ayuthaya, Thailand pada 2003 dan kemudiannya dia ditempatkan di beberapa pusat tahanan yang dirahsiakan sebelum diterbangkan ke Guantanamo pada tahun 2006.

Dalam warkah yang dikirim dari Cuba itu Hambali tanpa berselindung menyatakan perasaan rindu terhadap ibunya yang dipanggil “ummi”. Hambali juga menulis bagaimana dia turut merindui adik-beradik dan sanak-saudaranya yang lain selain sentiasa berdoa untuk mereka di samping mengharapkan mereka juga turut mendoakan kesejahteraannya.

Gambar pada 2003 sebagaimana dalam pasport Sepanyol

Warkahnya itu ditulis menggunakan bahasa Indonesia dan juga dialek etnik Sunda iaitu etnik kedua terbesar di Jawa dan merupakan populasi terbesar di Barat Jawa.

Malah terdapat juga di sana sini perkataan Inggeris yang turut dicoretkan Hambali dalam warkahnya itu.

Tiada ulasan: