HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2010

Jakim guna laman web perjelas hukum sebat syariah

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menggunakan laman webnya sebagai antara cara memberi penjelasan berkaitan hukuman sebat syariah kepada rakyat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata pihaknya juga mempunyai banyak bahan boleh dimuat turun menerusi laman webnya untuk membantu orang ramai memahami mengenai pelaksanaan hukuman sebat syariah itu.

Laman web Jakim ialah www.islam.gov.my.

Pada masa sama, Wan Mohamad, berkata beliau percaya pihak berkuasa agama negeri mampu memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan hukuman sebat seperti disarankan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

"Kita tidak dapat elak sekiranya ada segelintir individu kurang faham atau lambat untuk memahaminya.

"Kita memang bersedia untuk memberi penjelasan kepada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat (mengenai hukuman sebat) pada bila-bila masa," katanya ketika memberi taklimat kepada media berhubung sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang mahu jabatan agama Islam negeri memberi pendidikan dan pemahaman berhubung hukuman sebat terhadap tiga pesalah wanita Islam baru-baru ini yang mendapat reaksi negatif sesetengah pihak.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohamad berkata, Jakim akan menganjurkan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431H/2010M di Dewan Solat Utama Masjid Putra, Putrajaya, esok.

Wan Mohamad berkata, majlis sambutan bertemakan 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah' berkenaan akan disempurnakan Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beliau berkata pihaknya juga turut akan memilih tujuh tokoh menerima satu Anugerah Perdana dan enam Anugerah Maulidur Rasul 2010.

Katanya, Jakim juga akan menganjurkan Kempen 1Malaysia 1Halal selama tiga hari bermula Jumaat ini bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna terhadap pengurusan halal dan produk halal di negara ini.

Tiada ulasan: