HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Februari 2010

Guna wang ihsan RM20j tubuh akademik profesional

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusuf mencadangkan supaya wang ihsan RM20 juta digunakan untuk mewujudkan akademik profesional dan pusat bimbingan pra profesional bagi melahirkan anak Kelantan yang mahir dalam pelbagai bidang.

Katanya, jika Kerajaan Pusat bersetuju mewujudkan dua bidang itu, nescaya rakyat Kelantan tidak akan mempertikaikan dalam bentuk apa saja wang itu dinamakan atau disalurkan kerana semua peringkat usia beroleh manfaatkan daripadanya.

”Kalau nak diagihkan RM10 seorang pun, jumlah RM20 juta tidak mencukupi dan rakyat akan terus meminta-minta. Selain itu, mereka juga merungut kerana pemberian itu tidak cukup atau tidak sampai kepada mereka.

”Cadangan saya, gunakan peruntukan itu untuk memperkasakan rakyat menerusi penubuhan akademik profesional dan pusat bimbingan pra profesional yang mempunyai modul latihan bersepadu dalam memberi kemahiran kepada semua rakyat dari usia tujuh tahun sehingga tamat pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya kepada: Sinar Harian :di sini, semalam.

Nik Sapeia yang juga Pengerusi PPP Kelantan berkata, kementerian berkaitan boleh membantu Kerajaan Pusat menjayakan dua bidang dicadangkan itu dengan menekankan kepada ilmu pengetahuan berbentuk kemahiran kepada rak-yat supaya apabila memasuki alam pekerjaan, sama ada sektor kerajaan, swasta mahupun persendirian, mereka adalah pekerja profesional.

Menurutnya, akademik profesional boleh dikhususkan kepada yang berusia 17 tahun ke atas, manakala pusat bimbingan pra profesional bagi berumur bawah 17 tahun.

”Konsepnya ialah memberi penekanan ilmu dan kemahiran secara lebih profesional. Ini supaya apabila mereka menjadi doktor, mereka akan jadi doktor yang bertaraf profesional.

”Jika terlibat dalam perniagaan, mereka menjadi ahli perniagaan yang berjaya, bukan berniaga kecil-kecilan,” katanya.

Nik Sapeia berkata, rak yat profesional yang dilahirkan itu akan menggunakan ilmu dimiliki untuk memaju dan membangunkan Kelantan dalam masa singkat. Ini juga secara tidak langsung dapat mengatasi masalah gejala sosial melibatkan remaja seperti mat rempit dan penagihan dadah.

Tiada ulasan: