HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2010

Keahlian terus Barisan Nasional tidak praktikal

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Cadangan untuk membuka keahlian terus Barisan Nasional (BN) kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan atau parti politik mendapat pelbagai reaksi dari banyak pihak.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, cadangan tersebut amat sukar dilaksanakan kerana ia melibatkan pindaan Perkara 2 iaitu kerjasama antara parti komponen dalam BN.

Katanya, cadangan tersebut juga tidak praktikal sama sekali kerana maksud lain kepada keahlian terus ialah jika seseorang itu tidak menyukai UMNO, MCA atau MIC, orang tersebut boleh memilih sebagai ahli BN sahaja.

“Di sini akan timbul implikasi, kita kena memahami maksud sebenar keahlian terus dan kerjasama parti komponen BN yang telah stabil sekian lama.

“Selama ini kita faham bahawa untuk menjadi ahli BN, kita hendaklah berdaftar di bawah mana-mana parti komponen, jadi saya minta cadangan ini difikirkan semula secara terperinci kerana keahlian terus sebenarnya menggugat kestabilan BN,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Selain itu, beliau juga menyeru pucuk pimpinan BN supaya lebih memfokuskan usaha untuk memperkukuhkan BN terlebih dahulu sebelum pilihan raya umum yang akan datang daripada berfikir mahu membuka keahlian terus.

Tiada ulasan: