HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2010

Kekasih biaya penghantaran jenazah Mohd Shah ke Malaysia

BERNAMA


MELBOURNE — Seorang wanita yang disifatkan sebagai kekasih Mohd Shah Saemin, pemandu Pejabat Konsul Malaysia yang dibunuh di Sydney Ahad lepas, membayar A$7,000 untuk menghantar pulang jenazahnya ke Malaysia, demikian sebuah mahkamah di Sydney diberitahu hari ini.

James Trevallion, peguam mewakili Nita Iskander, 46, memberitahu Majistret Margaret Quinn di Mahkamah Newton, bahawa wanita itu juga berhasrat menghadiri pengebumian Mohd Shah di Malaysia, demikian menurut laporan Australian Associated Press hari ini.

Sebelum itu, seorang anggota skuad homisid memberitahu mahkamah bahawa wanita kelahiran Indonesia itu telah membuat panggilan telefon berhubung soal meninggalkan Australia, sebelum dan selepas suaminya ditahan kerana disyaki membunuh Mohd Shah, dan perkara itu tidak diberitahu kepada polis.

Nita juga didakwa berhelah mengenai tempat di mana suami dan anaknya berada semasa kejadian bunuh itu.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Nita mengaku kepada polis bahawa dia sedang bercakap melalui telefon dengan Mohd Shah apabila serangan itu berlaku.

Suaminya, Hazairin Iskander, 55, seorang pemandu teksi kelahiran Indonesia, serta anak mereka, didakwa membunuh Mohd Shah, 43, di luar kediaman Mohd Shah di Leichhardt di pinggir Sydney.

Nita, yang bekerja sebagai kerani akaun di Konsul Malaysia di Sydney, dituduh bersubahat melakukan jenayah itu. Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin.

Anak lelaki pasangan itu diberkas di Singapura semalam selepas dia melarikan diri dari Australia.

Jenazah Mohd Shah dibawa pulang ke Malaysia hari ini (25 Februari ).

Tiada ulasan: