HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2010

JLKN kecewa program komuniti tidak dapat kerjasama masyarakat

BERNAMA


PASIR MAS: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak memberi contoh baik kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), terutama apabila tidak ramai yang membabitkan diri dalam program khidmat komuniti pelatih.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata sikap sedemikian harus dikikis kerana ia tidak memberi faedah kepada pelatih.

"Dalam kebanyakan aktiviti khidmat komuniti atau masyarakat seperti gotong-royong, hanya pelatih PLKN sahaja yang dilihat terlibat secara aktif sedangkan masyarakat setempat hanya sebahagian kecil malahan ada yang hanya memerhati," katanya kepada pemberita selepas melawat kira-kira 100 pelatih di kem Cancun Park, di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuan khidmat komuniti yang dimasukkan dalam modul PLKN diadakan adalah supaya pelatih dapat melihat dan belajar dari masyarakat berkaitan sikap dan perhubungan dengan orang ramai, namun keadaan jadi sebaliknya apabila penduduk tidak banyak membantu.

Katanya, jika keadaan ini berterusan, sesuatu perlu dilakukan dan mungkin modul latihan itu terpaksa diubah.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata orang ramai boleh mula menyemak panggilan ke kem latihan untuk sesi kedua tahun ini mulai minggu depan dan semakan boleh dilakukan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), atau melayari laman web JLKN atau melalui e-mail.

"Seramai 42,000 pelatih akan terbabit untuk sesi kedua ini di seluruh negara," katanya.

Tiada ulasan: