HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2010

Saksi lihat Syafiah dicampak, dipijak

UTUSAN ONLINE


HULU SELANGOR - Seorang saksi mendakwa, dia ternampak Syafiah Humairah Sahari disepak seperti bola selain dicampak dan dipijak oleh teman lelaki ibu kanak-kanak itu.

Kejadian itu, menurut Ahmad Fikri Khalis Zakaria, 19, berlaku di sebuah padang bola di Kampung Batu 30, Batang Kali di sini kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu.

Ahmad Fikri Khalis berkata, pada masa itu dia ternampak kanak-kanak berusia tiga tahun tersebut sedang bermain bola di tepi padang berkenaan.

Katanya, suspek yang dipanggil Abang Mat tiba-tiba datang dengan memakai kasut but bola dan memarahi mangsa.

"Abang Mat kemudian menyepak mangsa seperti bola, selepas itu dia mengangkat Syafiah Humairah menggunakan sebelah tangan sebelum mencampakkan kanak-kanak itu ke atas padang.

"Tidak cukup dengan itu, suspek memijak perut mangsa dengan kasut bola dan menyepak beberapa kali bahagian belakang budak tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Kematian Allahyarham Syafiah Humairah mengundang rasa marah semua pihak kerana dia dibunuh teman lelaki ibunya secara kejam, kelmarin.

Akibat rasa marah dengan kejadian itu, penduduk setempat turut menconteng dinding hadapan rumah suspek dengan perkataan 'pembunuh' menggunakan cat merah.

Tambah Ahmad Fikri, mangsa yang tidak menangis ketika itu cuba berdiri tetapi jatuh semula kerana kecederaan yang dialaminya.

Seorang lagi saksi, Faleeq Hakim Zazali, 16, berkata, dia dan Ahmad Fikri cuba membantu mangsa namun dihalang suspek.

"Untuk memastikan Abang Mat tidak terus memukul mangsa, kami hanya mampu mengangkat kanak-kanak itu dan memasukkannya ke dalam teksi suspek.

"Namun, pada sebelah malam, kami dengar berita kanak-kanak itu telah meninggal dunia di hospital," ujarnya.

Tiada ulasan: