HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2010

Penganalisis ramal Galas, Batu Sapi kekal status quo



Calon BN Abdul Aziz Yusoff (dua, kiri) dan Dr Zulkefli Mohamad (dua, kanan) dari PAS bersama pemimpin kanan mereka selepas disahkan sebagai calon DUN Galas, semalam. Penganalsis meramalkan PAS akan kekalkan kerusi ini manakala BN di Batu Sapi.

KUALA LUMPUR — Penganalisis politik meramalkan keputusan dua pilihan raya kecil 4 November ini akan menyaksikan status quo dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) masing-masing boleh mengekalkan kerusi Batu Sapi dan Galas.

“Kerusi DUN Galas akan kekal di tangan PAS dan kerusi Parlimen Batu Sapi berpeluang dimenangi Barisan,” kata Dr Ong Kian Ming pada sesi taklimat berkaitan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi serta pilihan raya negeri Sarawak di sini malam tadi.

Kira-kira 10 jam sebelum itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan status calon dengan DUN Galas menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN dan PAS manakala Batu Sapi menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara BN, Parti Maju Sabah (SAPP) dan PKR yang mewakili Pakatan Rakyat.

Batu Sapi adalah pilihan raya kecil pertama di Sabah sejak 8 Mac 2008 dan yang pertama ditandingi SAPP selepas keluar BN hujung 2008.

Menurut Ong, walaupun persaingan di Galas kelihatan sengit tetapi PAS akan mempertahankan kerusi tersebut.

“Saya meletakkan peluang 52 peratus untuk calon PAS menang di Galas dan 48 peratus untuk calon BN,” kata beliau.

Selepas proses penamaan calon semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu pemberita bahawa kempen pihaknya bergerak dari paras keyakinan 48 peratus untuk mencapai kemenangan di Galas.

PAS merampas kerusi itu buat julung kali dari tangan BN pada 8 Mac 2008 menerusi Che Hashim Sulaima yang meninggal dunia bulan lalu.

Hari pengundian pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi ditetapkan 4 November.

Di DUN Galas, BN diwakili Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala Dr Zulkefli Mohamad, pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang mewakili PR.

Ong juga berkata, arah aliran sokongan pengundi Cina di kawasan DUN Galas akan kekal sebagaimana pernah disaksikan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum di mana undi mereka tidak memihak kepada BN.

Dengan mengambil kira arah aliran sokongan pengundi Cina ketika pilihan raya kecil Bukit Gantang pada Mac 2009 dan Hulu Selangor April lalu, ahli akademik UCSI University ini juga melihat BN tidak akan menikmati perubahan besar citarasa di kalangan pengundi Cina.

Begitu juga kata beliau, isu gereja diroboh juga akan memberi impak dalam sokongan Orang Asli kepada BN di Galas.

Isu tindakan meroboh gereja Orang Asli di Pos Pasik dan Kampung Jias juga dikatakan boleh mempengaruhi undi mereka kepada BN walaupun Orang Asli dilihat sebagai “kubu kuat sokongan” bagi perikatan itu selama ini.

Kedua-dua Pos Pasik dan Kampung Jias terletak dalam bahagian DUN Nenggiri, yang dimenangi BN dua tahun lalu. Pada 2008, BN memperoleh 64 peratus daripada 1,942 undi Orang Asli di Galas.

Galas terdiri daripada 11,553 pengundi dengan kalangan orang Melayu adalah 7,125 atau 61.7 peratus, Cina (2,317 atau 20.06 peratus), India (185 orang atau 1.6 peratus), Orang Asli (1,889 orang atau 16.3 peratus) dan Bumiputera Siam (10 orang atau 0.08 peratus).

Ong juga tidak melihat “faktor Ku Li” akan menjadi pengaruh besar dalam pilihan raya kecil kali ini.

Dengan merujuk kepada arah aliran sokongan yang tidak memihak kepada Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada 8 Mac 2008, Ong berpendapat bahawa situasi tersebut akan berulang kali ini.

Dr Zulkefli merupakan calon kerusi Parlimen mencabar Tengku Razaleigh pada 8 Mac 2008.

Tengku Razaleigh berjaya mempertahankan kerusi Parlimennya tetapi sokongan beliau daripada DUN Galas hanya 3,826 undi berbanding undi diterima Zulkefli sebanyak 4,143 undi.

Bagaimanapun Tengku Razaleigh memperoleh undi terbanyak di dua DUN yang lain dalam Parlimen Gua Musang.

Difahamkan PAS juga meletakkan sandaran pada aspek itu untuk menang di Galas.

Ong juga berkata fenomena itu merupakan salah satu sebab mengapa Tengku Razaleigh yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” tidak mahu menjadi calon pilihan raya kecil ini.

“Beliau sebaliknya hanya bersedia untuk mengetuai jentera pilihan raya,” kata Ong lagi.

Mengenai situasi Batu Sapi pula, Ong meramalkan calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin mempunyai kelebihan untuk menang berbanding dua pesaingnya.

Saingan di Batu Sapi menyaksikan pertarungan tiga penjuru.

Selain Tsen, yang merupakan balu kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu, turut bertanding ialah Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee dan Ketua PKR Tuaran Ansari Abdullah.

The Malaysian Insider difahamkan selain menurunkan Tsen yang dilihat sebagai langkah memperoleh undi simpati, persaingan tiga penjuru dilihat memberi kelebihan kepada BN.

“Kerusi Batu Sapi adalah milik BN,” kata Ong yang turut percaya bahawa saingan Yong dan Ansari akan memecahkan undi yang bakal diperoleh oleh calon-calon bukan BN.

“Jika persaingan satu lawan satu, saya percaya keputusan adalah sebaliknya... PKR atau SAPP ada peluang, tetapi sekarang undi berpecah,” kata Ong.

Selain itu kata beliau, analisis keputusan pilihan raya kecil di dua kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Batu Sapi menunjukkan secara perbandingan PKR bukan parti yang kuat berbanding calon Bebas dan DAP.

“Analisis keputusan pilihan raya 2008 menunjukkan PKR berada dalam kedudukan lemah,” katanya lagi.

Berdasarkan kedudukan pada hari PKR mengumumkan calonnya, The Malaysian Insider difahamkan, PKR bergerak dari paras keyakinan sokongan sekitar 20 peratus.

“DAP mempunyai peluang lebih baik jika bertanding di Batu Sapi,” jelas Ong dan menambah, “tetapi DAP memutuskan untuk memberi PKR laluan.”

Berdasarkan perjanjian peruntukan kerusi Mac 2008, PKR berpegang bahawa Batu Sapi adalah kerusi untuk mereka bertanding.

PKR tidak meletakkan calon di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008 tetapi menurunkan calon di kedua-dua kerusi DUN Sekong dan Karamunting.

Di Sekong, calon BN memperoleh 4,271 undi untuk memenangi kerusi itu manakala pencabarnya Nahalan Damsai dari PKR mendapat 2,082 undi manakala calon Bersekutu Mansor Mursalin pula 242 undi.

Sementara kerusi Karamunting dimenangi oleh calon BN Peter Pang dengan 5,171 undi manakala wakil PKR Tan Shu Tee hanya memperoleh 452 undi berbanding calon DAP, Chok Kon Tack (1,809) dan calon Bebas Sak Cheong Yu (1,455).

Peratusan keluar mengundi di Sekong dan Karamunting pada 8 Mac 2008 masing-masing 60.8 peratus dan 62.3 peratus.

Dari segi pecahan undi ikut kaum, Batu Sapi terdiri daripada seramai 15,099 atau 59.02 peratus Bumiputera Islam, Cina pula 9,737 (38.06 peratus), Bumiputera Bukan Islam 689 (2.69 peratus) dan India 57 orang (0.22 peratus).

Ong berkata, BN memperoleh 40 peratus undi Cina dan 66 peratus undi bukan Cina pada 2008.

Di Batu Sapi, kata Ong, beliau tidak menjangkakan aliran sokongan besar undi Cina.

Bagaimanapun katanya, SAPP boleh memperoleh lebih banyak undi berbanding PKR.

Justeru kata beliau, sekiranya SAPP memperoleh lebih banyak undi di Batu Sapi, ia akan memperkukuhkan kedudukannya di Sabah untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Jika ia berlaku, SAPP akan berusaha memperkukuh kedudukannya untuk mencabar DAP dan PKR di kawasan majoriti pengundi Cina dalam pilihan raya umum ke-13.

“Ini kerana SAPP tiada ruang lain kecuali Sabah untuk bertanding, mereka akan menggunakan pilihan raya kecil ini sepenuhnya,” kata beliau yang merujuk kepada soal pertikaian peruntukan kerusi antara DAP dan PKR selama ini.

SAPP didakwa mahu dilihat sebagai parti “dominan” dalam percaturan politik pembangkang di Sabah.

SAPP juga menggunakan alasan itu dalam proses perundingan antara parti itu dan PKR minggu lalu untuk mengelakkan persaingan tiga penjuru tetapi ia gagal.

Pilihan raya kecil ini juga yang pertama bagi Yong sejak bebas daripada larangan tidak boleh bertanding selama lima tahun.

29 ulasan:

joey berkata...

keputusan akhirnya nanti akan bergantung kepada undian pengundi. pengundi perlulah membuat pilihan berdasarkan kemampuan calon..

Anak Sabah berkata...

Kita tengoklah nanti sama ada analisis ini tepat ataupun tidak.

Anak Sabah berkata...

Saya memang tidak sabar-sabar menunggu kehadiran PRK pada 4 Nov nanti.

mantra berkata...

kedua piliharaya ini berlangsung sengit, di Galas pertandingan satu lawan satu, manakala di Batu sapi petandingan 3 penjuru. siapa yang menang akan diketahui pada 4 november nnti.

Jason berkata...

Semuanya terpulang kepada pengundi untuk menentukan siapa pemenangnya. Kita tunggu dan lihat sahajala keputusannya nanti.

Jason berkata...

May the best man win!

maya berkata...

Ini cuma ramalan berdasarkan analisis, tapi apakah sumbangan parti itu kepada kawasan tersebut? Boleh menang kah?

zam berkata...

setiap yang bertanding ada peluang untuk menang. ianya terpulang sama ada mereka berjaya mendapat sokongan rakyat atau tidak. semoga yang terbaik akan menang.

maya berkata...

Inilah semangat perjuangan dalam mempertahankan parti masing-masing. Setiap parti ada kekurangan dan kelebihan tetapi adakah mereka mampu mengatasi pelbagai rintangan yang bakal mereka hadapi kerana setiap parti inginkan kemenangan. So kita tengoklah nanti...

evan medhousky berkata...

jika pengundi mempertimbangkan isu2 diperingkat negeri dan nasional, pasti keputusannya berbeza dengan apa yang telah dianalisa setakat ini.

evan medhousky berkata...

kepada semua parti politik yang bertanding, jangan mudah terpengaruh dengan analisis2 yang berleluasa dimedia. teruskan usaha dan beri tumpuan sepenuhnya kepada tarikh 4 November depan.

Tanpa Nama berkata...

dalam piliharaya macam2 anlisis dan spekulasi akan timbul, namum semua itu akan diketahui pada 4 november nnti.

Bujang Senang berkata...

Mungkin juga ada kebenaran dalam analisis ini. Tapi apa pun cubalah buat yang terbaik untuk rakyat.

Hosie Masie berkata...

memang pasti kerusi batu sapi akan jadi milik BN dan kerusi Galas tidak mustahil akan menjadi milik BN juga. kita tengok saja nanti. Ini kerana pengaruh BN di Galas setanding dengan PAS. Apa pun kita nantikan keputusannya nanti.

Nemia berkata...

Analysis may proven differently.

Velove berkata...

Itu hanya sekadar ramalan.

kb girl berkata...

BN mungkin dapat mempertahankan Batu Sapi dengan penurunan undi majoriti. Pas dapat menang dengan kenaikan undi majoriti.

Unknown berkata...

Pegalisis di kedai kopi juga mempunyai pandangan yang serupa.
Pacik di warung juga kata demikian. Aunty dipasar juga sependapat.

Unknown berkata...

Walaupun terlalu awal untuk meramal, tapi ramalan ini kira tepat.

onong berkata...

Masih banyak isu yang telah ditimbulkan oleh pembangkang jadi adalah sukar bagi kita untuk meneka pemenang nanti.

Unknown berkata...

Status quo? Boleh jadi. Galas sudah tukar menjadi kawasan kuat PAS. Batu Sapi masih dalam gengaman BN>

Ezef berkata...

It's hard to tell.Anything will happen in a meantime.

chimchim berkata...

The best party will win.

Tanpa Nama berkata...

Kalau Ramalan ini betul, bagus juga.

Tanpa Nama berkata...

Tapi apapun, sehinggalah saat2 terakhir kita masih belum mampu membuat keputusan. Macam-macam boleh jadi.

Unknown berkata...

Jangan kerana analisis ini satu parti itu sudah mulai tidak bersemangat dan satu parti itu pula erada sudah di dlm zon selesa. Sebaiknya tingkatkan usaha membantu Batu Sapi. Penduduk akan berterima kasih kepada anda.

captain berkata...

Ini ramalan umum tetapi saya rasa kedua pihak mengharapkan kejutan berlaku.

Unknown berkata...

Saya rasa ramai pemehati politik tanah air mempunyai pandangan yang sama.

Antanum berkata...

Banyak yang telah meramal BN akan tetap menang di Batu Sapi. Begini pun sudah dikira doa, dan semoga keputusan pilihanraya akan menjawab semua persoalan yang ditimbulkan.