HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2010

Suhakam gesa kerajaan henti guna ISA tahan suspek seludup manusia

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa pentadbiran Najib agar mengkaji semula penahanan tujuh pegawai Imigresen dan suspek-suspek pemerdagangan orang atau penyeludupan manusia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

Pegawai-pegawai imigresen yang ditahan itu dilaporkan bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang kerana terlibat dengan sindiket pemerdagangan orang.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya berpendirian penggunaan ISA terhadap suspek-suspek pemerdagangan orang tersebut jelas melanggar prinsip hak asasi manusia.

“Ini kerana terdapat undang-undang khusus yang tersedia ada bagi kes-kes pemerdagangan orang iaitu Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Hasmy juga berkata, Suhakam memandang berat penggunaan penahanan tanpa bicara dan menyarankan semula supaya semua tahanan ISA didakwa di mahkamah untuk menjamin pengadilan sebagai hak asasi manusia serta sebagai tindakan pencegahan jenayah yang berkesan.

“Tindakan menahan seseorang tanpa sebarang perbicaraan adalah bercanggah dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang memberi penekanan terhadap hak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri, tiada sesiapapun boleh dikenakan tangkapan, tahanan atau pembuangan negeri secara arbitrari; dan setiap individu berhak kepada perbicaraan adil dan terbuka oleh tribunal bebas dan saksama.”

Pada 14 Oktober lalu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman ketika itu berkata, hukuman tahanan di bawah ISA ke atas tujuh kakitangan Jabatan Imigresen yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia tidak harus dilihat sebagai hukuman berat.

Beliau berkata sebaliknya hukuman itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada berdasarkan bukti kukuh yang dikumpul polis.

“Tindakan ISA itu satu keputusan yang telah pun difikirkan oleh kerajaan.

“Biasalah pada kita yang tak tahu (hasil siasatan) ini, mesti kita kata keraslah, kejamlah dan sebagainya,” katanya.

Sehari sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mendedahkan sembilan individu terdiri tujuh kakitangan Jabatan Imigresen dan dua warga asing, ditahan di bawah ISA kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia.

Tiada ulasan: