HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2011

17 Jun bagi pengurusan kes saman Abdul Khalid terhadap SPRM

SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Jun untuk pengurusan kes saman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas ketua Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Said Hamdan dan kerajaan, berhubung kenyataan yang mendakwa Abdul Khalid telah menyalahgunakan kuasanya.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norazlin Othman menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas bertemu peguam Abdul Khalid, Wan Anuar Shaddat Mohamed Amin dan Peguam Kanan Persekutuan Habibah Haron bagi pihak SPRM.

Pada 27 April, 2009, Abdul Khalid memfail saman dengan mendakwa kenyataan Ahmad Said pada 21 Feb, 2009 mengenai hasil siasaan suruhanjaya itu tentang salah guna kuasanya berhubung penyenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu Hari Raya Aidiladha bagi kawasan parlimen Bandar Tun Razak adalah fitnah.

Beliau memohon ganti rugi berbentuk kompensatori, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, am dan ganti rugi khas serta injunksi bagi menyekat defendan daripada terus melafazkan kenyataan fitnah. Beliau tidak menyebut jumlahnya.

Dalam kenyataan tuntutan, Abdul Khalid mendakwa bahawa kenyataan itu bererti beliau seorang pembohong, tidak berprinsip, rasuah, tidak beretika dan seorang ahli politik yang tidak layak yang telah melakukan kesalahan jenayah.

Ahmad Said dalam kenyataan pembelaannya difailkan pada 31 Julai, 2009, menafikan membuat kenyataan fitnah itu terhadap Khalid, dengan menyatakan beliau melafazkan perkataan-perkataan itu dengan niat baik, tanpa niat buruk hingga merosak reputasi Abdul Khalid.

Ketika itu beliau (Ahmad Said) menjawab soalan dari wakil media pada siding akhbar 20 Feb, 2009 mengenai perkembangan siasatan SPRM terhadap dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh Abdul Khalid, kata Ahmad Said.

Ahmad Said berkata, beliau mengeluarkan kenyataan itu dalam kapasitinya sebagai ketua SPRM dan dalam memenuhi tanggungjawabnya untuk menerangkan perkembangan siasatan kes itu kepada orang ramai.

Tiada ulasan: