"Ini masalah peneroka, jika dia rasa beliau betul maka tidak perlu takut untuk berdepan dengan warga peneroka..."
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman menyifatkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan sebagai pengecut ekoran menolak debat mengenai masalah peneroka Felda.
Mazlan yang dihubungi FMT hari ini turut mempersoalkan cabaran baru dikemukakan Ahmad agar dialog secara terbuka diadakan bersama pegawai Felda.
“Apa masalah beliau (Ahmad)? Kita mahu beliau debat secara berdepan dengan rakyat… jika setakat mahu adakan dialog tertutup..mencukupi bagi saya untuk hantar pesanan khidmat ringkas (SMS), hubungi atau minum kopi bersama beliau.
“Ini masalah peneroka, jika dia rasa beliau betul maka tidak perlu takut untuk berdepan dengan warga peneroka. Tapi kita tunggu sampai esok jika masih berkeras kita isytihar beliau sebagai menteri pengecut,” katanya.
Laporan Bernama hari ini memetik Ahmad sebagai berkata debat secara terbuka ditolak sebaliknya mengemukakan cabaran kepada Mazlan untuk dialog secara tertutup untuk menyelesaikan 20 perkara dibangkitkan presiden ANAK itu.
Menurut Mazlan ANAK hanya berperanan sebagai pemudah cara bagi warga peneroka yang mahukan maklumat lanjut berhubung pelbagai masalah yang membelenggu mereka selama ini.
Katanya selama ini pemimpin Barisan Nasional (BN) terutama Ahmad melemparkan pelbagai fitnah bahawa badan bukan kerajaan (NGO) seperti ANAK ini hanya berperanan memecah belahkan warga peneroka.
Namun Mazlan berkata pelbagai isu seperti perumahan, hutang, wang tanam semula, perahan gred, sosio-ekonomi generasi kedua tidak diendahkan dan malah para peneroka menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan.
“Pemimpin BN terutama Ahmad tuduh kami (ANAK) membawa fitnah untuk pecah belahkan peneroka. Tindakan Ahmad Maslan semakin melampau dan tidak mengutamakan perkara utama iaitu masalah para peneroka Felda.
“Malah pihak kerajaan tidak mencerminkan keikhlasan untuk selesaikan isu yang menjadi persoalan. ANAK hanya pemudah cara, sampaikan hasrat rakyat. Jika mereka (kerajaan) ikhlas mahu membantu dengar segala masalah warga Felda ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan