KUANTAN: Keengganan Adun Barisan Nasional Selangor untuk menyokong pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, khususnya pada Perkara 52(1) untuk memartabatkan institusi raja dengan mengembalikan kuasa Sultan telah mendedahkan sikap hipokrit mereka dalam laungan mempertahankan institusi raja di negara ini.
Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kiasannya berkata apa yang berlaku di sidang tergempar DUN Selangor Isnin lalu menunjukkan bahawa para pemimpin Barisan Nasional adalah makhluk dua alam yang tidak boleh dijadikan pemimpin.
Pakatan Rakyat sedar implikasi sebelum pindaan dibuat, namun dengan andaian bahawa Umno yang war-warkan isu penderhakaan pada raja akan kekal dengan prinsip tersebut; namun dengan apa yang berlaku jelas mereka adalah makhluk ‘dua alam’ yang tidak boleh dijadikan pimpinan, selar Tuan Ibrahim.
Usul pindaan Perkara 52 (1) Undang-undang tubuh Kerajaan Selangor 1959 berhubung soal perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ditolak kerana gagal mendapat restu dua pertiga majoriti Dewan Undangan Negeri.
Walaupun mendapat sokongan kesemua 34 Adunnya, Pakatan Rakyat kekurangan 4 undi untuk menjayakan usul tersebut apabila tiada seorang pun daripada 20 Adun Barisan Nasional yang berani menyokong usul tersebut.
Sementara itu, Tuan Ibrahim juga membayangkan apakah nasib yang bakal melanda kepada Adun Pakatan Rakyat sekiranya peranan mereka bertukar tempat dengan Adun Barisan Nasional.
“Saya boleh bayangkan seandainya PR yang menolak usul tersebut, media akan menyerang habis-habisan dan pasti akan berlaku demonstrasi mendesak Adun kita untuk letak jawatan, dan keluar dari Selangor,” ujar Tuan Ibrahim.
Secara positifnya pula, Tuan Ibrahim berkata disebabkan BN yang menolak usul tersebar, ianya bakal mempunyai implikasi yang lebih besar kerana ianya adalah gambaran sebenar sikap kerajaan pusat terhadap kedudukan raja berperlembagaan.
“Sepatutnya mereka rasa malu dan sebagai wakil yang bermaruah, mereka sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Adun. Bagaimana mereka nak jadi pemimpin seandainya isu kedaulatan raja tidak lagi dihormati?” tambah Tuan Ibrahim. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan