PETALING JAYA— Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kisah dengan kunjungan sulung Datuk Seri Najib Razak ke Turki sambil menegaskan perdana menteri tidak akan berjaya dalam mencantas sokongan yang beliau peroleh daripada kerajaan negara-negara Islam.
Ketua Pembangkang itu berkata meskipun Najib berada di Turki, ahli-ahli politik utama negara itu masih menghantar mesej peribadi kepadanya, perkembangan yang membuktikan hubungannya dengan kerajaan negara Eropah itu masih kukuh.
“Saya baru menerima satu mesej... jadi tiada masalah sama sekali,” kata beliau (gambar) pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini petang ini.
Kepimpinan Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat mereka hari ini menjelang pilihan raya kecil serentak DUN Kerdau dan Merlimau.
Beberapa penganalisis dan pemerhati politik mendakwa kunjungan sulung Najib sejak menjadi perdana menteri pada April 2009 akan memutuskan hubungan peribadi yang dijalin Anwar dengan Turki dan negara-negara Islam yang lain.
Najib juga telah mengunjungi beberapa negara Islam sebelum ini.
“Jika tujuan mereka untuk menjalin hubungan lebih baik, saya menyokong tetapi saya mempertahankan hubungan yang amat rapat,” katanya.
“Mesej-mesej peribadi terus diterima daripada kepimpinan Turki dan saya tiada masalah itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Pakatan Rakyat tidak perlu membentuk Kabinet bayangan kerana jawatankuasa Parlimen yang telah ditubuhkan sebelum ini sudah memenuhi kriteria berkenaan.
“Tidak perlu dibentuk Kabinet bayangan kerana kita telah pun mendahului dengan wujudnya jawatankuasa ini yang meneliti isu-isu mengikut portfolio kerja masing-masing,” katanya.
Anwar mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini yang mencabar parti pembangkang supaya memperlihatkan bayangan Kabinet mereka kepada rakyat sekiranya mereka begitu berhasrat untuk memerintah negara.
Sementara itu, beliau menggesa negara-negara Islam termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melakukan sesuatu untuk menghentikan kekejaman dan pembunuhan ke atas rakyat Libya.
“Kami mengutuk keras langkah dan tindakan Muammar Gaddafi yang terus menindas dan mendera rakyat dan mendoakan agar rakyat Libya terus bangkit menolak pimpinan yang rakus ini,” katanya.
Negara itu bergolak sejak seminggu lepas berikutan tunjuk perasaan mendesak pemimpinnya Muammar Gaddafi meletak jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan