HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Februari 2011

Selangor Terkini: ‘Beri bukti, jangan cakap’

"Apa yang takut sangat, takut kepada kandungan akhbar ini. Biarlah rakyat baca akhbar ini (Selangor Terkini)," kata Abdul Shukor Idrus.


PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno Selangor mencabar Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin memberikan bukti Umno terbabit dengan tabloid Selangor Terkini.

“Beri bukti, jangan tuduh sahaja. Saya minta dia beri bukti.

“Apa yang takut sangat, takut kepada kandungan akhbar ini. Biarlah rakyat baca akhbar ini (Selangor Terkini),” kata Abdul Shukor Idrus ketika dihubungi semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri BN Kuang itu berkata, beliau tidak tahu pihak mana yang menerbit dan mengedarkan akhbar Selangor Terkini.

Menurutnya, tidak salah rakyat Selangor membaca akhbar ini.

“Tetapi kerajaan Selangor takut dengan suara rakyat. (Tetapi) Hak rakyat untuk membaca,” tambahnya.

Faekah mendakwa, kalendar Abdul Shukor diedarkan bersama-sama akhbar itu pada Sabtu lalu ketika sambutan Maulidur Rasul.

“Malah penggunaan logo rasmi tanpa kebenaran adalah kesalahan serius kerana tidak menghormati undang-undang dan Sultan Selangor. Inilah penderhakaan sebenar,” katanya dalam sidang media di bangunan SUK semalam.

Mengulas dakwaan ini, Abdul Shukor berkata, akhbar itu telah diletakkan di pejabatnya di Kuang pada satu pagi.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui siapa yang meletakkan akhbar tersebut.

“Saya lihat ada yang menarik dan kebetulan saya ada program, saya berikan kepada orang yang hadir program tersebut.

“Tetapi saya tidak tahu siapa yang menerbitkannya,” tambahnya.

Tiada ulasan: