Seramai 44 orang peserta hafazan dari sembilan daerah di Selangor memperdengarkan hafazan mereka dalam pertandingan menghafaz Al- Quran peringkat Negeri Selangor.
Setiausaha Kerjaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi berkata, meskipun bilangan peserta yang menyertai hafazan ini kurang 4 peserta dari tahun lepas, namun pencapaian negeri Selangor diperingkat kebangsaan masih membanggakan.
Pada Majlis Menghafaz Al- Quran Peringkat Kebangsaan tahun lalu, Selangor berjaya merangkul johan bagi kategori 30 juzuk perempuan. Manakala bagi kategori lelaki, sekadar menduduki tangga ketiga.
Bagi kategori 20 juzuk, Selangor berjaya meraih naib johan bagi kategori perempuan.
Kategori 10 juzuk pula menyaksikan Selangor menggondol tempat ketiga, kategori perempuan dan peserta lelaki berjaya menduduki tangga kedua.
Khusrin berkata pertandingan hafazan yang diadakan saban tahun ini dijadikan platform kepada generasi muda untuk mengetengahkan usaha mereka menghafaz Al-Quran dan mencetuskan minat menghafaz Al- Quran dikalangan masyarakat.
Pertandingan ini juga dilihat mampu melahirkan para huffaz yang pakar dalam pelbagai bidang seperti bidang ilmu kejuruteraan, kedoktoran, sains, matematik, dan sebagainya.
Pertandingan yang memakan masa selama 4 hari itu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah kepada peserta.
Majlis penutupan diadakan di Dewan Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Ahah, Shah Alam turut dihadiri oleh Menteri Besar, Tan sri Abdul Khalis Ibrahim berserta Exco Kerajaan Negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan