Mukhriz Mahathir berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebaliknya bagi meningkatkan pendapatan isi rumah orang yang terpinggir.
“Dasar Ekonomi Baru (DEB) tak diwujudkan untuk melahirkan jutawan tapi adalah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah orang yang terpinggir terutamanya di kawasan luar bandar.
“Supaya golongan ini terlibat dalam sektor ekonomi dan ini tidak bermakna bukan Melayu tidak perlukan pertolongan,” kata beliau pada forum Meritokrasi dan Kuota: Ke Mana Melayu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dekat sini malam tadi.
Antara lain DEB berakhir pada 1990 tetapi matlamatnya diteruskan kemudian meletakkan sasaran untuk mencapai ekuiti orang Melayu dan Bumiputera sebanyak 30 peratus.
Tetapi DEB dikatakan gagal mencapai sasaran itu dan ini turut oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan bapa kepada Mukhriz, dalam memoirnya yang dipasarkan Isnin lalu.
Ada dakwaan mengatakan DEB hanya melahirkan sekumpulan kecil jutawan Melayu yang rapat dengan parti-parti politik.
Sehubungan itu Mukhriz yang juga timbalan pengerusi Umno Kedah berkata, sistem kuota yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan Bumiputera selama ini dianggap sebagai “tongkat” untuk maju ke hadapan.
Bagaimanapun, kata Mukhriz timbul persoalan besar sama ada orang Melayu boleh berdikari sekiranya sistem kuota tidak lagi diberikan.
Ahli Parlimen Jerlun ini menambah, sekiranya sistem kuota yang diberikan kepada orang Melayu selama ini ditarik adakah kaum itu boleh berjaya tanpa bantuan “tongkat” yang menjadi tulang belakang selama ini.
“Adakah kita sudah bersedia untuk buang tongkat ini?
“Adakah kita bersedia untuk bersaing dalam meritokrasi yang boleh menimbulkan pelbagai masalah ini? Adakah kita boleh bersaing dengan bangsa-bangsa lain di seluruh negara?” soal beliau.
Dalam pada itu, pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menegaskan sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya membabitkan kedudukan orang Melayu tidak boleh dibuat tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong walaunpen memperoleh majoriti dua pertiga di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Justeru, kata Khoo, orang Melayu tidak perlu bimbang akan masa depan mereka walaupun sistem kuota dihapuskan kerana hak kaum itu memang sudah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, sebarang pindaan membabitkan kedudukan Melayu, termasuk Perkara 153 yang menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, perlu melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan dua pertiga majoriti pada bacaan.
“Kalau nak pinda Perlembagaan Persekutuan kena ada dua pertiga majoriti tapi kalau nak pinda perkara-perkara yang membabitkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dua pertiga itu tidak cukup.
“Kena dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong baru boleh pinda ... siapa boleh pinda? Hanya orang Melayu sahaja,” katanya.
Tambah Khoo, beliau percaya kedudukan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini akan terus terjamin kerana institusi diraja yang diamalkan masih lagi kuat dan kukuh.
“Kedudukan raja masih lagi kuat kalau orang Melayu berpegang pada tradisional dan keadaan ini tidak akan berubah.
“Hanya orang Melayu yang ada hak untuk bercakap tentang masa depan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkataan meritokrasi adalah satu perkara yang menimbulkan ketakutan bagi orang Melayu kerana ia mengetepikan sistem kouta.
“Meritokrasi satu perkataan yang menimbulkan ketakutan bagi orang Melayu dan ada pihak yang anggap ia sebagai isu perpecahan.
“Namun sistem dua parti di negara ini semakin matang yang mana sebelum ini pendebatan kita berkisarkan soal kaum tapi kini kit berdebat soal dasar kerana soal kaum ini sebenarnya bukan isu besar untuk diperdebatkan,” katanya.
Jelas beliau, orang Melayu perlu bergerak maju ke depan serta melakukan perubahan dan jangan terlalu bergantung kepada sistem kouta yang mengongkong diri sendiri.
“Andai kata orang Melayu ini masih perlukan tongkat adakah ini bermakna oranhg Melayu tidak berupaya?
“Kita boleh minta bantuan tapi jangan terlalu bergantung, sebab itu orang Melayu perlu melakukan perubahan,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan