SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak akan menghalang mana-mana proses perundangan yang akan diambil keatas kakitangan Yayasan Selangor.
Menurut Tan Sri Khalid, pihak juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah , namun menegaskan ia perlu dibuat secara adil dan saksama kepada kedua-dua belah pihak.
"Kita tidak akan menghalang mana-mana proses undang-undang dalam mendapatkan keadilan dan ini memang perkara biasa yang dilakukan dimana mahkamah boleh dirujuk dalam mencari jalan penyelesaian,"
"Lembaga pengarah juga tidak akan menyebelahi mana-mana pihak dan membenarkan pengurusan untuk membuat keputusan yang sesuai, namun ia mestilah adil dan boleh dipertahankan."
Bagaimanapun, jelas Khalid apa yang dilakukan oleh Timbalan Pengurus Besar ( Pendidikan ), Omar Hasbollah ini adalah wajar bagi memperbetulkan keadaan dalam proses perjawatan di Yayasan Selangor.
"Perkara ini tetap akan diteruskan kerana ia perlu bagi memperbetulkan keadaan dalam proses perjawatan di Yayasan Selangor,"
"Dan perkara ini sudah tentu telah mendapat nasihati serta hujah-hujah yang menunjukkan keadilan kepada mereka dari segi pengambilan dan juga pelupusan jawatan pegawai pegawai tersebut."katanya.
Sehari selepas pendedahan berlakunya kepincangan yang membabitkan pengurusan Yayasan Selangor, anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor itu berdepan dengan tindakan saman oleh bekas kakitangannya.
Sebelum ini, Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor sebulat suara memutuskan untuk menamatkan kontrak Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dengan alasan gagal menunaikan tanggungjawab dan urus tadbir kewangan yang baik serta tidak prihatin dengan prosedur yayasan dan didakwa telah menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta sehingga November 2010.
Walaubagaimanapun mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Selangor hari ini bersetuju memberi peluang kepada Ilham Marzuki untuk menerajui Yayasan Selangor sehingga kontrak dua tahunnya tamat.
Khalid berharap Ilham dapat menjalankan tugas dengan baik kerana prestasinya akan dipantau dari semasa ke semasa, malah kontraknya juga tidak akan disambung sekiranya beliau gagal memberikan perkhidmatan terbaik.
Yayasan Selangor dan Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki berdepan dengan saman fitnah sebanyak RM1 juta yang difailkan oleh Omar Hasbollah berhubung tuduhan terlibat dalam meluluskan pembayaran tuntutan kontraktor kerja-kerja menaiktaraf sistem penghawa dingin berpusat Bangunan Yayasan Selangor di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Dalam writ samannya, Omar berkata, tuduhan tersebut menyebabkan beliau melalui proses sukar mendapatkan hak bagi faedah persaraan yang dinafikan termasuk perlu melalui proses tuntutan di Jabatan Perhubungan Perusahaan yang masih menunggu proses representasi untuk rujukan ke Mahkamah Perusahaan.
Writ saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui Tetuan Saleh Ahmad & Associates pada 11 Mac lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan