Pertubuhan NGO misteri - 1Malaysia yang menyumbang barangan keperluan serta menaja jamuan makan malam kepada pengundi setiap kali pilihan raya kecil diadakan dikatakan bukan sahaja menjengkelkan parti pembangkang tetapi juga parti komponen BN. Ini kerana kempen mereka dikatakan lebih mencuri tumpuan.
Menurut sumber yang rapat dengan NGO itu, pihak media juga sepatutnya dipersalahkan kerana memaparkan mereka sebagai pertubuhan pro-BN.
"Kita telah mencuri tumpuan. Tetapi kenapa aktiviti yang dianjurkan oleh MCA tidak mendapat sambutan yang baik?” soalnya.
Menurutnya, 1Malaysia adalah NGO yang bebas daripada pengaruh BN dan bukannya dibiayai oleh gabungan parti pemerintah itu.
"Katakan jika NGO 1Malaysia dihantar oleh BN, mengapa MCA ataupun MIC membenarkannya menjadi tumpuan?” soalnya lagi.
"Mengapa awak melihat mereka sebagai ahli MCA? Mereka juga adalah pengundi. Cuma kebetulan mereka yang saya kenali itu adalah ahli MCA,” katanya.
Dakwanya, tetamu pada jamuan itu termasuk ahli MCA, Gerakan, MIC dan DAP juga.
"Tahukah anda mengapa jamuan makan 1Malaysia selalunya penuh? Ini kerana pengundi mendapat ketenangan di sini. Sebab itu mereka terus hadir setiap jamuan makan,” tambahnya.
Pada pilihan raya kecil terbaru di Merlimau yang sedang berlangsung ini, NGO 1Malaysia mengulangi modus operandi dengan mengadakan makan tenghari dan makan malam secara percuma hampir setiap hari. Ia lazimnya dihadiri oleh pengundi bukan Melayu yang jumlahnya daripada ratusan dan ada kalanya mencecah ribuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan