HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Mac 2011

Pameran mistik perlu ikut garis panduan

SINAR HARIAN ONLINE

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri akan teliti sebelum beri sebarang kelulusan berhubung penganjuran Pameran Alam Mistik di sini, April depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, beliau akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terlebih dahulu seperti Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum memberi sebarang persetujuan berhubung perkara itu.

“Jika Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah keluarkan lesen dan kalau pameran itu tidak boleh diadakan, kita akan tarik semula lesen itu.

“Kalau Majlis Fatwa kata tidak boleh, maka tidak bolehlah diadakan. Buat masa ini, saya tidak boleh memberi sebarang keputusan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan e-book Dewan Undangan (DUN) Ladang di Dewan Kompleks Seri Iman di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Sektor Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Zubir Embong dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Wan Hisham Wan Salleh.

Pameran yang bakal diadakan selama tiga bulan itu bertemakan Masyarakat Berakidah dianjurkan oleh Dynasty Event Sdn Bhd yang dikatakan telah mendapat kerjasama beberapa agensi Kerajaan Negeri.

Namun kelmarin, Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dipetik sebagai berkata jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan sejak 2007 bahawa pameran seperti itu adalah haram diadakan kerana tidak mahu masyarakat Islam disogok dengan perkara tahyul dan kurafat.

Sementara itu, Ahmad ketika diminta mengulas berhubung isu penajaan pulang 700 penuntut Mesir untuk meneruskan pengajian mereka di sana berkata, perkara itu masih belum diputuskan dalam Mesyuarat Exco.

Menurutnya, sebarang keputusan berhubung perkara itu perlu mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Exco.

Terdahulu, beliau mahu ibu bapa dan guru memainkan peranan dalam memberi bimbangan kepada anak serta murid menggunakan e-Book secara optimum, seterusnya memacu kejayaan di dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 45,047 e-Book diperuntukkan kepada murid tahun lima dan enam, manakala semua guru sekolah rendah di negeri ini bakal menerima e-Book secara berperingkat.

Tiada ulasan: