HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Mac 2011

Pekerja asing: Kerajaan tiada pilihan beri kebenaran, kata menteri

BERNAMA

KUALA LUMPUR– Kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil pekerja asing bagi menampung kekurangan tenaga kerja dalam 13 sektor di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata sektor berkaitan telah cuba mendapatkan pekerja tempatan, namun belum cukup untuk menampung keperluan semasa.

“Dasar kerajaan adalah untuk mengurangkan (tenaga kerja asing), tapi kalau di mana situasi menunjukkan tidak ada pekerja tempatan, dan ini telah dibuktikan setelah dicuba, kita tetap kena luluskan pekerja asing.

“Mungkin sehingga sampai satu masa, sistem dalam industri berubah di mana kita tidak perlu bergantung kepada pekerja yang banyak, gaji menjadi lebih kepada pekerja tempatan, mungkin perkara ini boleh diatasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas permintaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) supaya kerajaan mengkaji semula keputusan membawa masuk 45,000 pekerja dari India untuk mengisi kekurangan dalam 13 jenis perniagaan Persatuan Peniaga-Peniaga India Malaysia baru-baru ini.

Subramaniam berkata sebelum ini, beberapa aduan diterima daripada sector perladangan yang mendakwa pengusaha mengalami kerugian kira-kira RM1 juta ekoran ketiadaan pekerja untuk mengait buah kelapa sawit di ladang mereka.

“Sektor perladangan sudah cuba untuk mencari pekerja tempatan, namun gagal. Tiada orang mahu kerja, dan kalau dibiarkan buah di atas pokok, ia akan rosak dan itu menyebabkan kerugian yang besar,” katanya.

Beliau berkata keputusan kerajaan itu adalah bagi memenuhi permintaan pihak berkenaan, yang turut membangkitkan masalah mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Subramaniam berkata keperluan terhadap tenaga kerja asing akan berubah pada masa depan apabila sistem industri di negara ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.

Semalam, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali meminta kerajaan menimbangkan keputusan membawa masuk pekerja asing berkenaan kerana bimbang ia akan menimbulkan kesusahan kepada rakyat dan negara, seperti menambah masalah sosial.

Mengenai kempen MyDaftar Nasional yang berlangsung dari 19 hingga 26 Februari lepas, Subramaniam berkata sebanyak 24,882 permohonan dikemukakan kepada sembilan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri yang terlibat dalam program itu.

Bagaimanapun, beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 10,000 permohonan belum dikembalikan kepada JPN.

Tiada ulasan: