HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Mac 2011

Peneroka ‘setia’, Felda masih kubu kuat BN



Sahak Damat pemilik kedai runcit di Jengka 23 yang kelihatan gembira dan selesa dengan apa yang dinikmatinya sekarang. — Foto oleh Choo Choy May

KERDAU — Barisan Nasional (BN) nampaknya berada dalam kedudukan selesa untuk menambah majoriti di kawasan penempatan Felda berbanding tiga tahun lalu meskipun PAS terus bekerja keras untuk memecahkan kubu kuat Umno itu.

Generasi pertama peneroka Felda di kawasan Kerdau mengakui mereka selesa dengan apa yang diperoleh sekarang meskipun ada isu di sana sini dan yakin BN akan menyediakan mereka apa yang diperlukan.

Aziz Ahmad, 60, berkata kehidupan di kawasan Felda “tidaklah seburuk” memandangkan para peneroka diberikan kerja, masjid dan pinjaman pengajian bagi anak-anak yang melanjutkan pelajaran di universiti.

“Jikapun ada apa-apa (masalah), ia senang untuk diselesaikan di Felda,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Lelaki bersuara halus ini, yang tinggal di sebuah pondok yang disambung dengan gerai kendaliannya selama 20 tahun sehingga 2002 berkata, kehidupannya adalah lebih baik berbanding keadaan ketika dia tinggal di kampungnya di Batu Kurau, Perak.

Dia mengakui kehidupannya di Kerdau lebih baik berbanding rakan-rakannya di Batu Kurau kerana memiliki sebuah motosikal dan kereta sejak memulakan kehidupan di sini pada 1981 dengan simpanan hanya RM70.

Aziz berkata yang dia tunggu-tunggu sehingga sekarang ialah kambing yang dijanjikan oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik, pemimpin Umno dan bekas ketua menteri Melaka, yang mengadakan lawatan dua tahun lalu.

“Mungkin mereka akan memberikan kemudian,” katanya lagi.

Lijah Mat Dom, 65, juga berkata dia berpuas hati dengan apa yang dia ada kecuali tidak dapat memperbaiki rumah kayunya selepas Felda menolak permohonan pinjaman.

Menurut Lijah, dia megharapkan pinjaman itu tetapi tidak sebenarnya sudah tidak perlu lagi kerana rumahnya sudah ada kemudahan asas seperti air dan bekalan elektrik.

“Saya merasakan ia sudah cukup,” katanya lagi.


Aziz Ahmad juga kelihatan gembira dengan perubahan kehidupannya di Felda sejak berpindah ke Kerdau pada 1981. — Foto oleh Choo Choy May

Lijah kini hanya menjaga dua orang cucunya dan tidak lagi mengerjakan kawasan ladang miliknya seluas empat hektar, yang sedang diuruskan oleh Felda sekarang.

Dengan itu, Felda memberikan Lijah RM1,500 sebulan.

Katanya, dia merasakan tidak perlu mendengar apa yang calon PAS mahu menawarkan, tetapi mengakui secara umum dia juga tidak tahu sangat tentang politik.

Sahak Damat, 64, pemilik kedai runcit di Jengka 23 berkata, BN akan menambah majoriti berbanding 2008 memandangkan perdana menteri telah memutuskan untuk menyelesaikan isu bayaran “CESS”.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika berada di Kerdau berkata, pengurusan Felda memberikan pertimbangan khas kepada 7,800 peneroka yang melibatkan 28 Felda di seluruh negara berhubung bayaran “CESS” dan bayaran balik tanaman semula dari getah kepada kelapa sawit. Felda memberikan tiga pilihan kepada warga peneroka berhubung bayaran CESS berkenaan.

Pilihan pertama ialah peneroka menerima bayaran kira-kira RM13,000 tetapi bayaran kembali (BK) mereka akan bertambah sebanyak RM650 sebulan sementara pilihan kedua CESS ialah mereka dapat separuh, RM6,500 dan BK mereka adalah RM500 sebulan.

Sahak berkata, selain masalah parit sumbat yang perlu digantikan tiada isu besar bagi dirinya.

“Kesemua permintaan saya sudah dipenuhi. Saya telah menunaikan haji pada 1998,” katanya.

Dia menambah, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad ada lebih daya tarikan memandangkan bekas guru itu datang ke skim itu hampir setiap hari.

Skim Felda Jengka 22, 23 dan 25 merangkumi satu pertiga daripada 8,999 undi yang ditawarkan oleh Kerdau.

BN dan PAS bekerja keras untuk menarik hati pengundi-pengundi kalangan peneroka dengan parti pemerintah memperoleh kelebihan dengan janji pilihan raya.

BN sudah pun membina padang futsal dan kemudahan jalur lebar di samping beberapa projek lain.

Baru-baru ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sebanyak 300 kampung di Pahang bakal menerima kemudahan melayari internet tanpa wayar melalui program Kampung WiFi menjelang akhir tahun ini.

Katanya sebanyak 11 buah kampung lagi di DUN Kerdau telah dikenal pasti akan dijadikan Kampung WiFi.

DUN Kerdau salah satu daripada tiga kerusi yang terdapat dalam Parlimen Kuala Krau. Dua yang lain ialah Jenderak dan Jengka. Kuala Krau, Jenderak dan Jengka dikuasai BN.

Kerusi Kerdau kosong ekoran kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim 12 Februari lalu.

Tiada ulasan: