HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Mac 2011

Pengundi perlu ubah kepercayaan hanya Umno-BN boleh tadbir, kata Nik Aziz



KUALA LUMPUR — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rakyat negara ini khususnya para pengundi perlu “mengubah daripada kepercayaan” bahawa hanya Umno-BN boleh memerintah dengan turut memberikan peluang kepada PAS-Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Kelantan membuat seruan ini ketika pengundi Merlimau dan Kerdau bersiap sedia untuk menuju peti undi sempena pilihan raya kecil serentak Ahad ini.

Malah wujud spekulasi negara akan mengadakan pilihan raya umum ke-13 tahun ini manakala rakyat Sarawak pula akan menyaksikan pilihan raya negeri bila-bila masa dari sekarang, kemungkinan awal April.

Pakatan Rakyat mencatatkan prestasi terbaik dan membentuk gabungan formal selepas pilihan raya umum 2008.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, menghadapi pilihan raya kecil ini, “saya mengajak para pengundi sekalian tetapkan niat dan iman semasa menggunakan hak mengundi “untuk ubah nasib hidup kita, demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.”

“Sesuai dengan niat tersebut, maka ubahlah kepercayaan kita dari mempercayai hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan membawa pembangunan, kepada memberi kepercayaan kepada PAS-Pakatan Rakyat yang juga boleh memerintah dan membawa pembangunan kepada bangsa, agama dan tanah air,” kata beliau dalam tulisan di blognya hari ini.

Dalam memberikan justifikasinya, Nik Aziz menambah, ini kerana parti Islam PAS sudah lebih 20 tahun berjaya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan membangunkan rakyat dan negeri di Kelantan.

“Dan, kini kejayaan itu turut berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor,” kata beliau lagi dalam perutusan sempena hari pengundian Ahad ini.

Nik Aziz yang memimpin kerajaan negeri PAS Kelantan sejak 1990 menulis, PAS di Kelantan mencapai kejayaan kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah, masuliah dan itqan yang selari dengan kehendak syariat.

“Justeru itu, kerajaan negeri Kelantan berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas dari riba dan subur dengan hasil mahsul anugerah Tuhan.

“Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama,” katanya lagi.

Nik Aziz berkata bermakna kerajaan negeri Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama - bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati.

“Inilah natijah perjuangan PAS yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum bahawa apa yang dilaksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini.

“Maka, Negeri Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah dinar emas dan dirham dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It’aam,” katanya lagi.

Malah Nik Aziz juga menulis bahawa Islam mengajar rakyat supaya berlaku adil kepada semua pihak, termasuklah ketika bertanding dalam pilihan raya.

Oleh itu katanya, setiap kali PAS bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok.

“Sentiasa memberi peluang kepada pengundi untuk menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan memilih dan mengundi PAS. Maka demi masa depan kita, undilah PAS pada kali ini. Ubahlah undi kita, dari undi Umno kepada mengundi PAS,” katanya lagi.

“Sebagaimana masyarakat Kelantan yang sudah menolak perjuangan Umno dan parti Umno bukan lagi parti kerajaan. Masyarakat Kelantan menolak perjuangan kebangsaan Umno adalah kerana dasarnya yang mengasing-asingkan dan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum, dan mengenepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam,” katanya.

Oleh sebab amalan itu tegas beliau, Umno telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini.

“Kegagalaan itu membuktikan perjuangan Umno tidak selari dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya,” kata Nik Aziz lagi.

Bertolak daripada itu kata Nik Aziz, beliau penuh yakin calon PAS-Pakatan Rakyat Yuhaizad Abdullah dan Hassanuddin Salim yang masing-masing membawa cabaran di Merlimau dan Kerdau adalah calon yang mesra dan rapat dengan semua lapisan pengundi.

Katanya, mereka berdua cukup berpengalaman selaku pimpinan parti dan masyarakat, maka sudah pasti mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi menunaikan harapan rakyat.

1 ulasan:

diana aziz berkata...

Jap2... macamana nk ubah pendirian yang PAS pun boleh tadbir? Sy rakyat negeri Terengganu yang pernah hidup dibwh kepimpinan PAS. Apa yg PAS buat dalam mase 5 thn tu?

1) Pembangunan?
- Semua pembangunan dihentikan. Sebab ape? Sebab pembangunan tu bermula dari UMNO. So, tak boleh bina bangunan sebab UMNO yang buat. Tak ke ini dikira pembaziran? ISLAM melarang umatnya membazir.
Apa yang saya nampak, sepanjang pemerintahan PAS, pintu gerbang dinaikkan di sana-sini. Untuk apa pintu gerbang tersebut?? Membazir!

2) Tabika Kg. Losong ditutup. Sebab ape? Atas alasan tabika itu didirikan di dewan serbaguna kampung. Ok, fine! Kalau betul nak mengimarahkan dewan itu dgn aktiviti2 sosial rakyat kampung, sepanjang 5 tahun itu, aktiviti apa yang dilakukan di dewan tersebut?
TAK ADA! Dewan tersebut akhirnya ditumbuhi semak samun dan dijadikan sarang penagih dadah dan tempat melakukan maksiat. Kalau tak percaya, sila tanya penduduk kampung Losong.

3) Masjid - Imam masjid yang sedia ada dipecat tetapi digantikan dengan imam yang dilantik oleh PAS. Apa jadi selepas itu? Masjid dijadikan sebagai satu tempat untuk berceramah tentang politik. Bukan berceramah tentang agama. Kenapa jadi seperti itu?

4) Karpet masjid juga ditukar - Nak karpet warna hijau sahaja dan taknak karpet warna Biru sebab rasa macam sujud pada UMNO. SubhanALLAH. Ini ke ajaran para ulama PAS? Tak kiralah karpet warna apa pun, yang penting niat adalah hendak bersujud kepadaNYA. Habis, kalau letak karpet warna merah, itu tandanya kita sujud pada DAP kah? Isu ini terjadi di hadapan mata saya sendiri dan pengurus Maimai Carpet Sdn Bhd di Kuala Terengganu.

5) Syarikat Air Terengganu terpaksa mengeluarkan wang RM200K SEMINGGU kepada kerajaan PAS atas sebab-sebab pembangunan. Tapi masalahnya pembangunan ape? Sepanjang 5 tahun, tak ada pun pembangunan di Kuala Terengganu.

6) Berlakunya demonstrasi jalanan : apakah memang budaya di dalam parti politik PR, suka membuat demonstrasi jalanan? ISLAM tidak pernah mengajar umatnya melakukan sesuatu yang boleh mengakibatkan kekacauan dan menimbulkan ketakutan kepada orang ramai. ISLAM kah itu? Elok-elok kite tinggal dalam harmoni dan aman, tiba-tiba ada yang buat demonstrasi tentang politik. Kenapa? Apa tujuan? Ini bukan cara berdakwah! Tapi cara politik fanatik!
Jangan buat sesuatu sehingga membuatkan orang lain menyifatkan ISLAM sebagai pengganas.

RUMUSAN SAYA : Semua orang tahu, Politik sememangnya mainan kotor dan permainan di dunia sahaja. Kalau betul para ulama PAS ingin membantu rakyat dan ISLAM, berdakwahlah seperti biasa. Tak perlulah nak mengutuk, mengeji, menghina sesama ISLAM khususnya dan MELAYU secara amnya. Sokong PAS tak menjamin kita masuk syurga. Sokong UMNO pun tak semestinya masuk neraka. Selagi kita beramal ibadat kepada YANG ESA, INSYAALLAH selamatlah kita di dunia dan akhirat. Tidak ada di dalam AL-QURAN yang mengatakan ALLAH akan bertanya kepada umatnya di padang mashyar kelak, engkau sokongPAS, secara automatik kau akan masuk Syurga. Tak ada! Hentikanlah mengeluarkan kata-kata dan fatwa-fatwa yang salah sehingga boleh membuatkan agama lain memandang ISLAM sebagai agama yang bodoh.
Assalamualaikum..