HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Mac 2011

Polis Selangor Kutip RM16.7 Juta Bayaran Saman

Ditulis oleh shuaib ayob


SHAH ALAM : Polis Selangor mengutip RM16.7 juta bayaran saman daripada pesalah trafik selepas kerajaan mengumumkan insentif diskaun 50 peratus ke atas saman yang dijelaskan mulai Ogos lepas.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri Selangor DSP Ismail Ibrahim berkata kutipan semalam iaitu RM4.1 juta merupakan jumlah pembayaran tertinggi diterima oleh polis negeri sepanjang tempoh pemberian diskaun ke atas pembayaran saman trafik yang berakhir semalam.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga, polis Selangor telah melanjutkan tempoh operasi kaunter pembayaran saman sehingga pukul 12 tengah malam berikutan sambutan menggalakkan di kawasan terbabit.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dengan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Katanya Ibu Pejabat Polis daerah Petaling Jaya merupakan antara balai yang menerima kunjungan paling ramai iaitu 723,000 pesalah trafik untuk membuat bayaran saman selain balai polis Klang Selatan, 611,000 dan Subang Jaya, 322,000.

Sementara itu, semasa berucap pada majlis itu, Tun Hisan berkata polis memperkenalkan Rakan Cop yang boleh diakses melalui telefon pintar seperti Blackberry untuk memudahkan orang ramai berhubung segera dengan polis.

Tiada ulasan: