PUTRAJAYA – Kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010, yang sepatutnya dibawa ke Parlimen sesi Mac-April ini, sehingga bulan Jun bagi mengemaskan beberapa perkara dan memberi ruang kepada pemilik dan pewaris memberikan pandangan.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata langkah itu bagi membolehkan beberapa klausa dalam rang undang-undang itu diperhalusi.
“Ia juga untuk memberi ruang kepada pemilik dan pewaris agar lebih memahaminya,” kata beliau pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pemilik dan pewaris Kampung Baru hari ini.
Dipetik Bernama, katanya, terdapat pemilik dan pewaris kurang memahami “niat atau tujuan” beberapa klausa terbabit, namun secara keseluruhannya mereka tidak mempertikaikan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.
Beliau berkata penangguhan pembentangan untuk bacaan kali kedua itu juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Raja Nong Chik berkata pihaknya juga menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ahmad Phesal Talib dan dianggotai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperhalusi klausa-klausa terbabit.
“Jika ada perkara yang belum selesai sebelum itu, jikalau perlu dilambatkan kita akan lambatkan (pembentangan). Apa yang penting suara pemilik dan pewaris didengar dan akhirnya kepentingan mereka dilindungi,” kata beliau.
Katanya sesi penerangan berkaitan klausa berkenaan akan dikendalikan beberapa NGO seperti Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Kampung Baru (Pakam).
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan melaksanakan referendum mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru pada Mei ini.
“Kita akan panggil semua tuan punya tanah dan undilah apa yang anda mahu. Apa yang penting kita mahukan keputusan yang dibuat adalah keputusan majoriti,” katanya.
Awal Januari lalu, Raja Nong Chik Raja berkata pihaknya yakin Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang akan membuka laluan kepada pembangunan semula kawasan itu akan diterima terutamannya oleh pemilik dan pewaris walaupun ada yang masih membantah.
Kata beliau, kerajaan pusat yakin akan mendapat sokongan yang positif daripada penduduk di kawasan itu walaupun ada pemilik dan pewaris tanah kurang bersetuju dengan rang undang-undang itu.
“Nak kata dapat sokongan 100 peratus itu tidak mungkinlah tapi majoriti itu saya yakin.
“Saya yakin majoriti akan setuju dengan rang undang-undang ini kerana perbadanan lebih baik daripada Badan Amanah atau syarikat (berkaitan kerajaan),” kata beliau.
Sebelum ini Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali menyifatkan cadangan menubuhkan Majlis Penasihat sebagai hanya bersifat kosmetik dan menampakkan ketidakjujuran kerajaan pusat kepada penduduk kawasan itu.
Selain Lo’ Lo’, sebilangan besar pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru tidak bersetuju dengan rang undang-undang tersebut kerana mendakwa ia tidak menepati apa yang dicadangkan mereka.
Malah pentadbiran MAS juga mempersoalkan status badan pentadbir itu sekiranya perbadanan tersebut dilaksanakan.
Ketika memberikan penerangan kepada kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bulan lalu, Raja Nong Chik berkata, Majlis Penasihat akan ditubuhkan yang mana akan bertindak sebagai penasihat kepada perbadanan itu.
Raja Nong Chik juga berkata, MAS akan dilantik sebagai Majlis Penasihat perbadanan itu.
Rang undang-undang baru telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat 14 Disember lalu dan pada hari yang sama diberikan taklimat kepada sebahagian pemilik dan pewaris Kampung Baru.
Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar.
Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang. Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan