SINAR HARIAN ONLINE
Blogger Sanggahtoksago.Com yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Batu, Datuk Tarmizi Mohd Jam mengalu-ngalukan penubuhan Suruhanyaja Siasatan Diraja bagi menyiasat kesahihan ketulenan video seks yang dikatakan membabit Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pembersihan imej berkenaan penting buat Pakatan Rakyat dan diri Anwar, yang sering dikaitkan dengan isu-isu membabitkan seks, sesuatu yang sukar diterima oleh rakyat di negara ini.
Tegasnya, dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, isu ketulenan klip tersebut dapat ditentukan dan dengan itu, siasatan mendalam ke atas video seks berkenaan akan menyokong pandangan banyak pihak bahawa lelaki yang melakukan seks dalam video tersebut adalah 100 peratus bukan Anwar, atau sebaliknya.
Tarmizi juga yakin, Suruhanjaya Diraja berkenaan mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab yang profesional bagi mencari kebenaran keaslian video tersebut dan membuktikan siapakah watak yang berada di dalam video itu.
Terdahulu, Pas Kawasan Batu mahu pihak polis menyiasat dakwaan terbaharu Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, serta laporan polis yang dibuat oleh Penasihat PKR, Anwar semalam berhubung terdapatnya video seks yang didakwa melibatkan Anwar oleh Datuk T seperti yang ditayangkan kepada wartawan media tempatan dan luar negeri, 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara.
Yang Dipertuanya, Ishak Surin memandang serius fitnah dan adu domba melampau digunakan untuk menjatuhkan seteru politik, tanpa menghiraukan dosa pahala dan adab moral.
Beliau yakin, misteri video seks ini akan terbongkar tidak lama lagi berdasarkan pendedahan Saifuddin dan Johari yang pernah ditayangkan video berkenaan kepadanya, dan ditawarkan imbuhan jika mereka meninggalkan PKR.
Kata Ishak, baru-baru ini beliau turut dimaklumkan terdapat sekurang-kurangya lima Ahli Parlimen PKR yang ditawarkan untuk melompat parti bagi melumpuhkan Pakatan Rakyat menjelang PRU-13 tidak lama lagi. Perkara yang sama turut menjadi buah mulut di lobi Parlimen minggu lalu.
Mengulas lanjut, beliau mahu polis jalankan siasatan secara profesional tanpa memilih bulu atau takut dengan mana-mana orang politik yang terbabit, baik orang politik yang sudah pencen mahupun yang masih berkuasa.
Dipetik daripada blog Sanggah Tok Sago (Naib Yang DiPertua Pas Kawasan Batu, Datuk Tarmizi Mohd Jam)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan