SHAH ALAM : Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Muhammad Razak Idris menyarankan kerajaan negeri di seluruh negara menyediakan satu "Skim Bantuan Perkahwinan" kepada golongan belia untuk mendirikan rumah tangga.
Dr Muhammad Razak berkata, bantuan tersebut juga dilihat mampu mengekang kegiatan tidak bermoral golongan remaja yang mengakibatkan pertambahan jumlah kelahiran anak luar nikah di negara ini, selain terlalu memberi penekanan berhubung adat dan pantang larang bagi tujuan tersebut.
"Pihak kerajaan negeri di seluruh negara hendaklah menyediakan satu "Skim Bantuan Perkahwinan" bagi membantu golongan ini mendirikan rumah tangga,"
"Ibu bapa juga tidak perlu terlalu terikat dengan adat-adat atau pantang larang yang boleh mendatangkan kesulitan kepada anak-anak untuk menjalankan walimatul urus,"katanya.
Dr Muhammad Razak berkata demikian ketika dihubungi TvSelangor bagi mengulas kenyataan Exco Selangor berhubung masalah kewujudan anak tidak sah taraf di Selangor yang mencecah 257,000 orang sehingga tahun 2008.
Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam , Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata, masalah kewujudan anak tidak sah taraf di Selangor kini sudah mencecah jumlah yang 'sangat besar' dan angka sebenar masih tidak diketahui berikutan terdapat kes kelahiran anak luar nikah yang tidak didaftarkan.
Dr Hassan berkata demikian bagi menjawab soalan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman berhubung jumlah anak luar nikah yang didaftarkan dari 2007 hingga 2010 pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.
Jelas Dr Hassan, berdasarkan statistik sedia ada sehingga 2008, seramai 257,000 anak luar nikah didaftarkan di Selangor.
Menurut Dr Muhammad Razak, dalam perkembangan ekonomi dunia yang kurang memberangsangkan kini, ibu bapa turut disarankan agar tidak terlalu terikat dengan pelbagai pegangan selain membantu anak-anak menguruskan hal-hal berkaitan.
"Dan bagi ibu bapa yang berkemampuan mereka disaran supaya membantu serta terlibat secara langsung dalam urusan walimatul urus anak-anak mereka," kata Dr Muhammad Razak.
"Dalam erti kata lain tanggungjawab ibu bapa hari ini tidak sekadar memberikan pelajaran tetapi sehinggalah anak-anak dapat mendirikan rumah tangga dengan sempurna," katanya.
1 ulasan:
bagaimana mahu memohon dalam skim ini?
Catat Ulasan