HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 April 2011

Poco-poco: Pemuda Perak puji Harussani, kata MB berani

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Dewan Pemuda PAS Perak berkata pihaknya “mengucapkan tahniah” dengan langkah kerajaan negeri itu seperti yang ditegaskan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bahawa akan menghormati ketetapan tarian poco-poco diharamkan.

Poco-poco diwartakan sebagai haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Januari lalu.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss mendakwa walaupun sedar tarian poco-poco ini telah “diperkenalkan” oleh Datin Seri Rosmah Mansor, tetapi ketegasan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria amat dipuji.

“Dan tindakan Datuk Seri Zambry juga dilihat bersifat berani dalam memastikan fatwa haram tarian poco-poco ini dikuatkuasakan di Perak,” katanya.

Raja Ahmad yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS pusat berkata, ini ditambah rumit apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim secara terbuka menegaskan dan membolehkan agar tarian poco-poco dibenarkan.

Kata beliau, Dewan Pemuda PAS melihat isu ini sepatutnya dibincangkan secara ilmiah dan perkara pokok agar tidak menjadi kekeliruan umat Islam.

“Keduanya, Pemuda PAS Perak akan mengambil sikap untuk bertemu sendiri dengan Tan Sri Harussani agar mendapatkan penjelasan sebenar akan perkara ini,” katanya lagi.

Kelmarin, Zambry berkata kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, yang telah diputuskan Januari lalu.

Zambry berkata, kerajaan negeri akan menghormati keputusan itu memandangkan satu fatwa berkaitan dengannya telah dikeluarkan.

Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian.

Harussani berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Tiada ulasan: