HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 April 2011

Shuhaimi Shafie Fail Notis Gugur Pertuduhan

TVS NEWS


SHAH ALAM : Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei hari ini memfailkan notis bagi menggugurkan pertuduhan keatasnya berhubung dakwaan menerbitkan artikel mengandungi ayat-ayat menghasut di laman blognya pada 30 Disember lalu.

Shuhaimi, 43, memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam kira-kira jam 4.10 petang melalui Tetuan Kanesalingam & Co.

Menurut Shuhaimi, dalam afidavitnya itu beliau berkata, Akta Hasutan 1948 adalah tidak sah kerana ia bercanggah dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan.

Shuhaimi mendakwa undang-undang hasutan sebegitu hanya digunakan oleh pihak British untuk menghalang sebarang kritikan terhadap pejuang kemerdekaan dan beliau percaya undang-undang itu telah dimansuhkan di Britain sendiri.

Shuhaimi berkata, beliau percaya bahawa tujuan Akta Hasutan 1948 antara lainnya adalah untuk menewaskan pemberontakan komunis yang bermula pada 1948, dan secara amnya juga bertujuan untuk menegah kritikan kepada kerajaan serta pihak-pihak tertentu.

Tegas Shuhaimi, sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, Akta itu digunakan terhadap anggota parti pembangkang, penulis, penerbit, dan aktivis sosial serta langsung tidak dipergunakan terhadap pemberontak komunis atau pemimpinnya.

Selain itu, Shuhaimi turut menegaskan bahawa pertuduhan terhadap beliau adalah satu pendakwaan selektif yang mengancam dan menghukum individu yang mengkritik kerajaan secara aman serta merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah wajar bagi mahkamah menggunakan bidang kuasanya bagi membatalkan atau menggantung terus pertuduhan serta pendakwaan yang dibuat terhadapnya.

Pada 7 Februari lepas, Shuhaimi mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerbitkan artikel bertajuk "Pandangan saya berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959" yang dikatakan mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning di sini, 30 Disember lepas.

Shuhaimi didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang dikatakan mempertikai keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.

Tiada ulasan: