JAKARTA — Indonesia mengumumkan keputusan menghentikan sementara pengiriman tenaga kerja Indonesia ke Arab Saudi mulai 1 Ogos ini setelah seorang pembantu rumah dari Indonesia menjalani hukuman pancung di Arab Saudi Sabtu lalu kerana kesalahan membunuh ibu majikannya.
Moratorium itu akan dikuatkuasakan sehingga kedua-dua negara itu dapat mewujudkan kesepakatan melalui satu perjanjian yang menjamin perlindungan dan pemberian hak kepada tenaga kerja Indonesia.
Indonesia juga akan menetapkan satu dasar nasional mengenai pengiriman tenaga kerja negara itu ke luar negeri di masa depan, setelah satu kajian mengenainya selesaikan dilakukan oleh sebuah pasukan khas, lapor Bernama Online hari ini.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang mengumumkan keputusan itu semasa berucap kepada rakyat menerusi siaran langsung oleh beberapa stesen televisyen hari ini, membantah keras tindakan Arab Saudi melaksanaan hukuman mati terhadap pembantu rumah bernama Ruyati itu tanpa memberitahu pihak Indonensia kerana ia jelas melanggar prosedur antarabangsa.
“Mulai hari ini langkah mengetatkan pengiriman tenaga kerja Indonesia telah dilaksanakan.
“Kita mengawasi lembaga pengirim tenaga kerja Indonesia. Saya juga meminta warganegara Indonesia patuh menyokong moratorium ini dan tidak berusaha sendiri ke sana,” katanya dalam laporan itu.
Dalam penjelasan kepada rakyat itu, Yudhoyono turut meminta Menteri Luar Dr Marty Natalegawa, Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Patrialis Akbar dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar agar menjelaskan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh kerajaan bagi cuba untuk menyelamatkan Ruyati dan warganegara Indonesia lain di luar negara yang sedang terancam hukuman mati.
Pada masa ini terdapat 23 warganegara Indonesia yang terancam hukuman mati di Arab Saudi dan sejumlah lagi di Malaysia.
Pelaksanaan hukuman pancung terhadap Ruyati oleh Arab Saudi itu telah mengundang kecaman dan kritikan pelbagai pihak di Indonesia, yang menilai kerajaan gagal memberi perlindungan sewajarnya kepada warga negara Indonesia di luar negara, yang diancam hukuman mati.
Kerajaan Indonesia yang hanya mengetahui mengenai pelaksanaan hukuman itu melalui laporan media, sebelum ini telah menghantar nota bantahan kepada Arab Saudi melalui Duta Besar negara itu di sini.
Selain moratorium itu terhadap Arab Saudi, Yudhoyono berkata Indonesia juga sedang membuat penilaian terhadap beberapa negara lain di Timur Tengah mengenai layanan dan perlindungan terhadap tenaga kerja Indonesia di negara terbabit sebelum membuat keputusan sama ada akan turut melaksanakan moratorium serupa.
“Keputusan yang ketiga ialah, hari ini saya akan mengutus surat kepada Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz, yang berisi tiga hal, pertama hubungan Indonesia dan Arab Saudi sebenarnya dalam keadaan baik, kecuali kes dan persoalan tenaga kerja Indonesia.
“Kedua saya juga akan menyampaikan penghargaan atas diluluskan permohonan kami terhadap kes hukuman terhadap tenaga kerja Indonesia, dan terbukti ratusan daripada mereka mendapat pembebasan tanpa syarat. Secara moral saya wajib mengucapkan terima kasih.
“Tetapi yang ketiga, surat saya adalah berupa keprihatinan yang mendalam dan bantahan saya selaku ketua negara Indonesia atas pelaksanaan hukuman ke atas Almarhumah Ruyati, yang sekali lagi melanggar kelaziman dan prosedur antarabangsa dengan tidak memberitahu pihak Indonesia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan