HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Jun 2011

Anggota Unit Amal PP dikerah sertai Bersih 2.0

Fakhri Ali


PERMATANG PAUH: Seluruh anggota Jabatan Unit Amal Negeri Pulau Pinang akan dikerahkan untuk turun padang beramai-ramai bagi menjayakan himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Ketuanya, Yusni Mat Piah, ketika dihubungi berkata, Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, akan memastikan seluruh jentera Unit Amal terlibat secara langsung bagi memastikan perjalanan himpunan tersebut dalam keadaan aman tanpa provokasi mana-mana pihak.

"Kita merencanakan himpunan ini adalah himpunan aman, tiada senjata dan tiada provokasi. Kita hanya ingin menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, mengenai hasrat sebenar rakyat yang inginkan pilihan raya yang bersih.

"Sekiranya ada provokasi, ia bukanlah dari pihak kita yang telah lama bersiap sedia untuk melaksanakan tuntutan tersebut,” katanya.

Oleh kerana itu, katanya pihak berkuasa seperti polis, mestilah memantau dan memberi kerjasama menjaga keamanan supaya himpunan itu berjalan dengan baik.

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat, turut menyeru semua golongan masyarakat yang cintakan keadilan dan ketelusan dalam pilihan raya, supaya turun padang bersama-sama bagi menjayakan himpunan itu.

"Apa yang kita lakukan adalah menurut lunas undang-undang yang ada. Kita menyuarakan hasrat terpendam kepada kerajaan sebagai rakyat dalam sebuah negara yang melaksanakan sistem demokrasi.

"Demokrasi ini haruslah disokong secara total oleh polis dan pihak berkuasa. Jangan ada demokrasi terpilih atau 'double-standard' dalam membuat justifikasi atau pilihan," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: